Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Polis rampas dadah 141.4kg bernilai lebih RM8 juta
Diterbitkan:  Jul 14, 2022 9:04 PM
Dikemaskini: 1:04 PM

Satu sindiket pemprosesan dan pengedaran dadah tumpas apabila polis menahan 11 individu dan merampas 141.4 kilogram (kg) pelbagai jenis dadah yang dianggarkan bernilai RM8.07 juta di sekitar Lembah Klang pada Jumaat lepas.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) Noorsiah Mohd Saaduddin berkata kesemua tahanan terbabit berusia antara 22 hingga 38 tahun dan diberkas melalui lima serbuan.

Katanya mereka terdiri daripada sembilan lelaki tempatan serta seorang lelaki warga asing. Seorang lagi yang diberkas merupakan wanita warga luar.

Noorsiah berkata dadah yang dirampas melibatkan 106.3kg ketamin, 18.6kg pil Eramin 5 dan 16.5kg pil ekstasi yang dipercayai boleh digunakan seramai 502,257 penagih dadah.

“Sindiket ini mula aktif sejak Feb lepas. Modus operandi mereka adalah menjadikan premis kediaman sebagai tempat memproses dan stor simpanan dadah, sebelum ia diedarkan untuk pasaran tempatan terutama di sekitar Lembah Klang," katanya.

Menurut Noorsiah kes itu disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Suspek juga, katanya, direman selama tujuh hari bermula 9 Julai.

"Dua daripada mereka mempunyai rekod lampau melibatkan kes dadah dan jenayah yang disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 dan Seksyen 148 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Noorsiah berkata tindakan juga diambil di bawah ADB (pelucuthakan harta) 1988 dengan menyita pelbagai aset sindiket yang dianggarkan bernilai lebih RM582,300 yang terdiri daripada lapan kenderaan bernilai RM522,800, wang tunai berjumlah RM20,330 dan barang kemas bernilai RM39,201.

“Nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan harta berjumlah RM8.65 juta.

"Dengan operasi ini, PDRM menumpaskan satu sindiket memproses serta mengedar dadah untuk pasaran tempatan dan akan meneruskan siasatan untuk mengesan saki baki ahli sindiket,” katanya.

Noorsiah berkata PDRM khususnya Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik terus berusaha membanteras aktiviti penyalahgunaan dan pengedaran dadah dan berharap masyarakat terus menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan pengedaran dadah yang berlaku melalui hotline mereka di talian 012-2087222.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS