Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Jemaah menteri sokong, setuju draf RUU antilompat parti
Diterbitkan:  Jul 14, 2022 5:30 PM
Dikemaskini: 9:30 AM

Jemaah Menteri telah menyokong dan bersetuju dengan draf Rang Undang-Undang (RUU) antilompat parti yang melarang ahli Dewan Rakyat daripada bertukar parti, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

“Pemakluman mengenai draf RUU ini dalam mesyuarat jemaah menteri pada 13 Julai lalu berjalan lancar melalui suatu nota jemaah menteri dan tiada persoalan dibangkitkan serta nota itu dipersetujui sebulat suara oleh jemaah menteri.

“Justeru, pembentangan dan perbahasan draf RUU dalam sesi mesyuarat kedua Parlimen akan diteruskan mengikut garis masa seperti mana yang dirancang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan)(No 3) 2022 akan dibentangkan pada Isnin ini dan dibahaskan pada 27 Julai dan 28 Julai. Taklimat untuk Ahli Parlimen akan diadakan dua hari sebelum itu.

Jemaah menteri sebelum ini telah menangguhkan RUU sebanyak dua kali - pertama pada Mac lalu dan sekali lagi pada 6 April - kononnya untuk mendapatkan maklum balas lanjut.

Pengkritik berhujah bahawa mereka sepatutnya membiarkan Parlimen memutuskan kandungan RUU kerana itu adalah forum yang sesuai untuk mengubal undang-undang.

Dewan Rakyat pada 11 April membentuk satu jawatankuasa pilihan khas - diketuai oleh Wan Junaidi - untuk menyemak RUU itu secara dwipartisan.

Jawatankuasa pilihan itu memuktamadkan tugasnya pada 12 Julai.

RUU itu adalah susulan kepada rampasan kuasa politik Langkah Sheraton pada Februari 2020, yang menyaksikan Malaysia mempunyai tiga perdana menteri berbeza dalam tempoh kurang dua tahun.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS