story images
story images
mk-logo
Berita
DAP gesa PM segera namakan duta ke Indonesia
Diterbitkan:  Jul 14, 2022 9:00 AM
Dikemaskini: 4:00 AM

Ahli Jawatankuasa Pusat DAP Tan Hong Pin menggesa Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob supaya segera melantik duta besar ke Indonesia.

Ini selepas senarai duta baru yang menerima watikah pelantikan mereka kelmari dilaporkan tidak termasuk Ahli Parlimen Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman, yang pada mulanya disebut-sebut bakal menjadi duta ke Indonesia.

“Ini bermakna jawatan Duta Besar Malaysia ke Indonesia masih kosong selepas 16 bulan dan kini pihak berkuasa sementara hanya mempunyai kuasa terhad untuk menguruskan hal ehwal diplomatik kedua-dua negara,” kata Tan pada satu kenyataan malam tadi.

Dia berkata Indonesia merupakan sekutu yang sangat penting kepada Malaysia kerana negara jiran itu rakan dagang ketiga terbesar Malaysia di kalangan Asean.

Kedua-dua negara juga mempunyai banyak isu yang sama seperti minyak sawit dan jerebu rentas sempadan, tambahnya.

“Justeru, perdana menteri digesa untuk segera menamakan seorang duta profesional ke Indonesia bagi membantu Malaysia dalam menyelaraskan isu antara kedua-dua negara bagi menjamin kepentingan negara,” kata Tan.

Malaysiakini sebelum ini melaporkan nama Tajuddin bukanlah antara senarai duta baru yang menerima watikah pelantikan daripada Yang di-Pertuan Agong pada 12 Julai.

Tidak jelas mengapa nama Ahli Parlimen Pasir Salak itu tiada dalam senarai ataupun jika pelantikannya telah dibatalkan, dan terdapat laporan bercanggah mengenai perkara itu.

Walaupun beberapa laporan mendakwa Tajuddin telah digugurkan sebagai duta ke Indonesia, namun ada juga laporan lain berkata pelantikan itu hanya "ditangguh".

Tajuddin kemudiannya dipetik sebagai berkata: "Tiada komen, tanya menteri luar atau perdana menteri."


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS