Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Maybank S'pore batal saman NFC tak sensitif kepayahan rakyat - Rafizi
Diterbitkan:  Jul 13, 2022 8:38 PM
Dikemaskini: 12:38 PM

Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli menyifatkan tindakan Maybank Singapore Ltd menarik balik saman mereka terhadap Pengerusi National Feedlot Corporation (NFC) Mohamad Salleh Ismail dan dua anaknya sebagai tidak sensitif terhadap "kepayahan rakyat biasa yang menanggung hutang sejak wabak Covid-19."

Maybank Singapura semalam dilaporkan telah membatalkan saman terhadap Salleh dan dua anaknya kerana didakwa ingkar terhadap dua kemudahan pinjaman perumahan berjumlah S$2,534,203.41 di Singapura.

Salleh ialah suami kepada bekas menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat Shahrizat Abdul Jalil.

"Rakyat tidak lupa bagaimana sukarnya untuk mendapat pelepasan dan kelonggaran dari pihak bank (termasuk Maybank) untuk menguruskan ansuran hutang mereka sepanjang tempoh dua tahun yang lepas.

"Ramai juga rakyat biasa yang jatuh muflis kerana gagal melunaskan hutang mereka (yang jumlahnya jauh lebih kecil dari hutang NFC kepada Maybank Singapore).

"Pada masa yang sama, keluarga Tan Sri Shahrizat Jalil yang memiliki NFC dan berhutang puluhan juta wang rakyat seolah-olah mendapat layanan yang istimewa, tidak seperti rakyat kebanyakan,” katanya pada satu kenyataan hari ini.

Rafizi juga menegaskan penarikan balik saman itu bermakna Maybank tidak lagi boleh memfailkan saman baru untuk menuntut hutang yang belum dibayar daripada NFC pada masa hadapan.

Rafizi kemudian menyatakan NFC masih belum membayarnya jumlah wang seperti yang diperintahkan oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes mereka, dan peguamnya sedang membuat tindakan susulan mengenai perkara ini selaras dengan peruntukan undang-undang.

NFC juga telah memaklumkan mahkamah pada Januari tahun ini bahawa mereka sedang berunding dengan kerajaan persekutuan untuk penyelesaian di luar mahkamah berhubung tuntutan kerajaan yang menuntut syarikat itu membayar balik pinjaman dan faedah berjumlah RM253 juta.

"Sejak Umno kembali menjadi Kerajaan Persekutuan, ada tanda-tanda seolah-olah satu per satu kes bersabit NFC diselesaikan tanpa melalui jalan undang-undang yang sewajarnya (seperti yang perlu dilalui rakyat biasa).

"Ini gambaran bagaimana sekiranya Umno kembali berkuasa sepenuhnya di Putrajaya.

“Skandal-skandal penyelewengan wang rakyat berkemungkinan akan ditutup begitu sahaja dan bekas-bekas pimpinan Umno yang terpalit dengan rasuah akan bebas begitu sahaja," dakwa Rafizi.

Rafizi turut menyoal mengapa salah seorang anak Salleh, Wan Izzana Fatimah Zabedah (gambar, atas), masih boleh dilantik ke jawatan dalam agensi kerajaan walaupun menjadi salah seorang defendan dalam tuntutan mahkamah Maybank Singapura ketika itu.

Pada Disember tahun lalu, Wan Izzana dilantik sebagai pengarah bukan eksekutif Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC). Dia juga memegang jawatan dalam TalentCorp dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Rafizi berkata walaupun kes NFC itu sudah berusia lebih sedekad, dia akan terus memantau isu itu dan tidak akan teragak-agak untuk memulakan tindakan undang-undang bagi menuntut semula RM250 juta milik rakyat.

Malaysiakini telah menghubungi NFC dan Maybank untuk mengulas perkara ini.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS