Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Beku tenaga kerja: Sistem MOS bukan untuk Indonesia saja - Hamzah

Penggunaan Sistem Pembantu Rumah Dalam Talian (MOS) dalam pengambilan pekerja domestik bukan hanya tertumpu tenaga kerja warga Indonesia, sebaliknya untuk kesemua 15 negara sumber.

Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin berkata demikian susulan kenyataan Duta Besar Indonesia ke Malaysia berhubung pembekuan sementara pengambilan tenaga kerja dari negara itu di Malaysia serta merta.

"Saya nak maklumkan permohonan secara atas talian itu dah umumkan kepada dunia, boleh kita gunakan sistem online tak kan ada orang kata tidak boleh sistem online. Kenapa pula, ini sistem yang kita gunakan.

"Jadi ianya bukan hanya untuk Indonesia tapi untuk semua warga asing datang yang perlukan visa boleh buat secara atas talian," katanya dalam sidang media selepas Majlis Penyerahan Surat Keputusan Kewarganegaraan di Putrajaya, hari ini.

Gambar fail, Menteri Sumber Manusia, M Saravanan bertemu Menteri Ketenagakerjaan Republik Indonesia, Ida Fauziyah.

Mengulas lanjut, Hamzah berkata sistem MOS digunakan bagi memastikan setiap warga asing yang ingin bekerja di Malaysia mempunyai dokumentasi lengkap.

"Yang penting kepada semua untuk memahami bahawa, kita ingin memastikan semua tenaga kerja asing mempunyai dokumen yang lengkap jika mereka ingin datang dan tinggal di negara ini

"Kita ada banyak warga asing yang datang duduk bekerja, negara sumber nombor satu adalah Bangladesh, dan kita ada 15 lagi negara sumber,"katanya lagi.

Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Hermono (gambar, bawah) hari ini memaklumkan republik itu membekukan sementara kemasukan semua pekerja ke Malaysia serta merta.

Jelasnya, langkah ini berikutan berlaku pelanggaran syarat-syarat dalam memorandum persefahaman (MOU) pekerja domestik di antara dua negara yang ditandatangani tiga bulan lalu.

Dakwanya, permohonan kepada Jabatan Imigresen melalui Sistem Pembantu Rumah Dalam Talian (MOS) dalam pengambilan pekerja domestik Indonesia melanggar MOU yang dimeterai bersama itu.

Terdahulu, Hamzah menyerahkan surat keputusan kewarganegaraan kepada 28 penerima berusia 21 tahun ke bawah

Dalam ucapannya, beliau meminta rakyat Malaysia yang berkahwin dengan warga asing sama ada di dalam atau luar negara untuk berdaftar perkahwinan mereka mengikut lunas perundangan supaya tidak menimbulkan permasalahan kelak.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS