Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Teman lelaki Siti Nuramira mengaku tak bersalah muat naik video

Individu yang dipercayai pasangan kepada wanita yang didakwa menghina Islam di pentas acara lawak minta dibicarakan atas pertuduhan mencipta niat jahat dengan memuat naik video kejadian kontroversi itu di hadapan Mahkamah Sesyen Petaling Jaya hari ini.

Tertuduh Alexander Navin Vijayachandran, 38, dipercayai teman lelaki kepada Siti Nuramira Abdullah - yang didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur awal hari susulan kejadian minggu lepas itu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 233 (1)(a) dan Seksyen 233 (3) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Berpakaian hoodie hitam dan seluar pendek denim biru, Alexander mengaku tidak bersalah atas kedua-dua pertuduhan.

Mengikut Seksyen 233 (1)(a), dia berdepan hukuman denda maksimum RM50,000, atau penjara tidak lebih setahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Hukuman yang sama dikenakan untuk Seksyen 233(3) akta itu.

Pertuduhan pertama mendakwa Alexander berkongsi hantaran di akaun Instagramnya pada 5 Jun dengan niat untuk menyinggung perasaan orang lain.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa berkongsi kandungan di akaun YouTubenya pada 16 Jun dengan niat yang sama.

Dikatakan kedua-dua kesalahan telah berlaku di sebuah kondominium di Damansara Perdana, Petaling Jaya, Selangor.

Berkongsi peguam yang sama mewakili Siti Nuramira, Alexander hari ini diwakili peguam Sivaraj Retinasekharan dan Ramesh N.P. Chandran.

Timbalan pendakwa raya Mohamad Firdaous Mohamed Idris pada mulanya memohon jaminan ditetapkan RM40,000 bagi setiap pertuduhan.

Bagaimanapun, peguam Alexander Sivaraj telah merayu agar hakim memasukkan status ekonomi tertuduh dalam penghakiman.

"Kami meminta Mahkamah mempertimbangkan latar belakang beliau bahawa beliau hanya seorang penulis bebas yang berpendapatan kurang daripada RM1,500 sebulan," kata Sivaraj.

Dia juga menyatakan bahawa Alexander, yang sebelum ini bekerja sebagai jurulatih menyelam, telah terjejas akibat kegawatan ekonomi akibat Covid-19.

"Dia tidak mempunyai pekerjaan tetap dan wabak itu memusnahkan keupayaan pendapatannya.

"Saya meminta Mahkamah supaya tiada jaminan diperlukan kerana dia bukan berisiko melarikan diri," kata peguam itu hari ini.

Hakim Azrul Darus kemudian menetapkan ikat jamin RM10,000 bagi setiap pertuduhan. Dia juga telah menetapkan 1 September untuk tarikh perbicaraan seterusnya.

Sebelum ini, video seorang wanita menanggalkan tudung dan baju kurung di atas pentas Kelab Komedi Crackhouse di TTDI tular di media sosial.

Kelab Komedi Crackhouse berkata ia telah mengharamkan wanita itu dan pasangannya mengunjungi premis mereka sejurus selepas persembahannya dan terus membuat laporan polis.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah menggantung lesen kelab itu.

Tiga hari lalu, polis menahan Siti Nuramira dan telah diberikan perintah mahkamah untuk menahannya untuk siasatan sehingga semalam (12 Julai).

Teman lelakinya ditahan sehari kemudian (11 Julai) dan akan direman sehingga hari ini (13 Julai)


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS