Pengasas Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) Shariffa Sabrina Syed Akil memohon untuk memindahkan kes saman fitnah kerajaan negeri Pahang terhadapnya ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Peguamnya Rajesvaran Nagarajan berkata permohonan untuk memindahkan kes itu dari Mahkamah Tinggi Temerloh sedang berlangsung, mengikut Perintah 57 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012.
"Fakta material berlaku semasa anak guam saya berada di Kuala Lumpur - oleh itu mengapa pertikaian ini harus didengar oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur," katanya kepada Malaysiakini.
Berhubung saman utama, semua kertas kausa telah difailkan dan pihak-pihak sedang menunggu arahan praperbicaraan daripada mahkamah, tambahnya.
“Permohonan untuk memindahkan prosiding dari Mahkamah Tinggi Temerloh telah difailkan.
"Semua afidavit telah dikemukakan dan pihak-pihak sedang menunggu arahan selanjutnya daripada mahkamah yang mulia berkenaan dengan penghujahan dan tarikh perbicaraan," kata Rajesvaran.
Menurut peguam itu, saman utama ditetapkan untuk diteruskan selepas permohonan pemindahan didengar dan diputuskan, dengan sesi pengurusan kes seterusnya ditetapkan pada 19 Julai melalui e-semakan.
Ketika ditanya, dia berkata anak guamnya belum memfailkan tuntutan balas terhadap kerajaan negeri.
Pada 18 Jun lalu, kerajaan Pahang menyaman Shariffa (atas) atas tuduhan memfitnah berhubung tiga kenyataan mengenai aktiviti pembalakan di negeri itu.
Kenyataan di FB, wawancara akhbar
Sebelum ini, kerajaan Pahang mengeluarkan surat tuntutan supaya presiden kumpulan alam sekitar itu membayar pampasan RM1 juta dan memohon maaf atas komennya yang dimuat naik di Facebooknya dan wawancara dengan akhbar harian tempatan.
Di bawah undang-undang, tindakan sivil boleh dikenakan di mahkamah jika penerima surat undang-undang itu didakwa gagal mematuhi tuntutannya.
Menurut salinan kertas kausa yang dilihat oleh Malaysiakini, saman sivil itu difailkan di Mahkamah Tinggi Temerloh pada 7 April.
Kerajaan Pahang mendakwa Sabrina membuat kenyataan berunsur fitnah di Facebooknya pada 29 dan 30 Dis tahun lepas, serta ketika wawancara dengan Sinar Harian pada 12 Jan.