Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan hari ini tampil menjelaskan bahawa draf berkaitan jawatan timbalan perdana menteri (TPM) seperti yang dimaklumkan oleh Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, semalam bukan satu perjanjian.
Sambil mengakui bahawa dia membuat draf perjanjian berkenaan atas kedudukannya sebagai menteri di jabatan perdana menteri (undang-undang) pada waktu itu dan bukan kapasiti parti, Takiyuddin berkata perlantikan TPM berada pada kehendak Yang di-Pertuan Agong.
"Ia (isu TPM) bukan satu perjanjian, sebaliknya dipanggil sebagai Memorandum Perjanjian (MoA)," katanya yang dipetik oleh portal Berita Harian Online semasa menghadiri sebuah program Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) di Bukit Gantang, hari ini.
Takiyuddin berkata sebagai bekas menteri undang-undang, semua perkara yang berkaitan dokumen undang-undang akan dilaksanakannya.
“Jadi semua yang berkaitan dokumen undang-undang saya akan diminta membuat berkenaannya, bukan kerana saya (semata-mata) adalah Takiyuddin.” katanya,
Semalam, Malaysiakini melaporkan Muhyiddin menasihatkan rakan sekutunya dari PAS supaya merujuk kepada setiausaha agung parti itu, mengenai kewujudan perjanjian jawatan timbalan perdana menteri.
Menurut Muhyiddin, yang juga adalah pengerusi Perikatan Nasional (PN), Takiyuddin ialah individu yang menggubal draf perjanjian berkenaan.
Selain itu, bekas perdana menteri itu juga mengingatkan Abdul Hadi Awang bahawa, selain Takiyuddin, saksi perjanjian itu ialah Setiausaha Agung Bersatu, Hamzah Zainuddin dan Ketua Umno Bahagian Ketereh, Annuar Musa.
Mengulas lanjut, setiausaha agung PAS itu berkata, walaupun 'perjanjian' yang dimaksudkan antara Muhyiddin dan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob itu secara terperinci ada menyebut mengenai jawatan TPM, namun ia tidak mensyaratkan perlantikannya adalah dimestikan.
"Jadi bila tiada dalam perlembagaan, maka terpulang kepada Yang di-Pertuan Agong sama ada hendak lantik TPM atau terpulang (sebaliknya).
“Jadi, tidak boleh kata wajib melantik TPM walaupun perdana menteri berhak atas hak prerogatifnya ingin melantik TPM jika beliau berasa memerlukannya," katanya.
Pada 8 Julai lalu, Hadi dipetik sebagai berkata tiada sebarang perjanjian dibuat berhubung pelantikan jawatan timbalan perdana menteri antara PN dengan Ismail Sabri.
Menurutnya, PAS masih lagi berpegang pada keputusan awal penubuhan kerajaan bahawa tidak ada jawatan timbalan perdana menteri.
Ditanya mengenai jika Hadi tahu mengenai kewujudan MOA itu,Takiyuddin yang juga adalah Menteri Tenaga dan Sumber Asli bagaimanapun mengakui dia sendiri tidak pasti.
"Tidak semua orang tahu mengenai 'perjanjian' (MOA itu. Jadi kena tanya Tok Guru (Abdul Hadi) sendirilah dia tahu atau tidak sebab dia bukan orang yang tandatangan MoA berkenaan.
"Mungkin kenyataannya (Hadi) sebelum ini (mengenai tidak wujud perjanjian Muhyiddin-Ismail Sabri) adalah jawapannya secara spontan apabila ditanya yang mana dia mungkin tidak tahu," katanya.
MOA itu dilapor antara lain turut menyentuh mengenai bilangan jawatan dalam kabinet khususnya mengenai bilangan kuota setiap parti yang menyokong Ismail Sabri sebagai perdana menteri.