Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Pemimpin Umno rakus kuasa cetus ketidakstabilan buat PM’
Diterbitkan:  Jul 11, 2022 11:08 AM
Dikemaskini: Jul 12, 2022 2:57 AM

Segelintir pemimpin Umno yang rakus untuk berkuasa sedang mencetuskan ketidakstabilan politik dalam kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob, kata Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

Dalam temu bual dengan Malaysiapost, Wan Fayhsal berkata kumpulan minoriti itu seolah-olah ‘sakit mata’ melihat kestabilan yang diusahakan Ismail Sabri dan Muhyiddin Yassin, sebelum ini.

“Itu satu pandangan yang toho (cetek) kerana punca ketidakstabilan politik yang terjadi dalam kerajaan campuran hari ini banyak berpunca daripada segelintir kepimpinan Umno yang rakus itu.

“Lihat sahaja lah dulu mereka tak ada jawatan timbalan perdana menteri.. Mereka desak. Bila dapat jawatan itu mereka tekan lagi perdana menteri ketika itu Muhyiddin Yassin,” kata Wan Fayhsal.

Tahun lalu, Ismail Sabri dinaikkan sebagai timbalan perdana menteri selama 40 hari sahaja. Tempohnya berakhir pada 16 Ogos tahun lalu, apabila Muhyiddin terpaksa meletak jawatan sebagai perdana menteri selepas kehilangan sokongan 11 ahli parlimen Umno.

Walaupun Ismail Sabri adalah naib presiden Umno, Wan Fayhsal berkata dia diasak oleh partinya sendiri setiap hari, khususnya oleh Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki.

“Ismail Sabri cuba merangkumkan kesemua pihak dalam kerajaan tetapi masih diasak setiap hari oleh ketua pemuda Umno.

“Mereka melihat kerajaan yang terbina pada hari ini walaupun perdana menteri adalah dari Umno adalah sebuah kerajaan yang asing di mata mereka.

“Jadi perkara ini memang tidak bertanggungjawab kerana permainan politik yang dimainkan itu dalam keadaan kita susah, mengorbankan kestabilan yang telah dicapai oleh semua pihak dalam kerajaan ketika ini,” katanya.

Sementara itu, Wan Fayhsal berkata pilihan raya umum ke-15 perlu ditangguhkan kerana kerajaan masih sibuk cuba membendung kesan akibat daripada pandemik Covid-19.

“Rakyat sibuk nak hidup, cari duit cari rezeki… tak ada masa nak fikir pasal politik ni buat masa ini. Sebab itu rakyat marah kepada ahli politik macam saya. Sebab dilihat orang politik ini tak ada simpati kepada keperitan hidup rakyat.

“Jadi, berilah masa untuk rakyat bernafas. Berilah masa untuk mereka menerima bantuan-bantuan kerajaan. Berilah masa untuk kerajaan selesaikan masalah-masalah ini,” katanya

Wan Fayhsal berkata, apa yang terjadi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di Melaka dan Johor perlu dijadikan pengajaran apabila rakyat yang muak terhadap politik telah memboikot untuk mengundi, sekali gus menyebabkan peratusan mengundi yang rendah.

“Pada saya tidak sesuai, (Pemuda Bersatu) Armada tidak bersetuju pendirian Umno yang mendesak dan memaksa Ismail Sabri bubarkan Parlimen atas sebab kita sudah melihat trend peratusan keluar mengundi yang rendah akibat persoalan-persoalan semasa yang menghambat rakyat dan pengundi.

“Ketika bulan Mac di PRN Johor masalah Covid-19, sekarang kalau nak bubar isu harga barang meningkat pula,” katanya.

Dia berkata, PRU15 perlu diadakan tahun hadapan untuk memberi peluang kepada rakyat memulihkan ekonomi dan menjalani kehidupan yang lebih stabil.

“Itu adalah jalan terbaik, ketika itu semua orang sudah kembali stabil. Buat masa ini hanya orang yang nak ‘lepaskan tengkuk’ dari kes mahkamah yang begitu risau PRU15 akan berlaku lambat,” kata Wan Fayhsal.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS