Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Mohd Puad Zarkashi beranggapan pemimpin PAS sekarang, termasuk mereka yang dilantik menganggotai jemaah menteri sebagai kentadusan “diplomasi”.
Mengulas berita mengenai kira-kira 380 bakal jemaah haji Malaysia terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Khamis lalu, katanya, pemimpin PAS “mendidih” apabila dia membidas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad dan Presiden PAS Abdul Hadi Awang selaku duta khas perdana menteri ke Timur Tengah.
“Rupanya ada ahli PAS macam orang lain. Suka maki dengan perkataan bodoh. Kalau menteri ada di Mekah, timbalan menteri pergi mana? Pegawai menteri semua di Mekah ke?
“(Perdana Menteri) Ismail Sabri (Yaakub) hantar setiausaha politik beliau melawat mangsa banjir di Baling. PM kebetulan berada di Turkiye,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Sebelum ini, Puad menyifatkan Idris sebagai tidak prihatin dan tiada idea untuk menyelesaikan isu berkenaan
Dalam nada menyindir, Puad berkata, pemimpin PAS ternyata tidak mempunyai diplomasi atau kecekapan dalam “PR” (public relations) atau perhubungan awam.
Puad seterusnya “menyekolahkan” pemimpin PAS dengan menyenaraikan contoh-contoh “PR” digunakan dengan sebaik-baiknya oleh pemimpin Umno untuk menyelesaikan masalah.
“Semasa banjir besar di Tanah Merah Kelantan 2014, Najib (Razak sedang) main golf bersama Presiden (Amerika Syarikat, Barrack) Obama. Itu adalah golf diplomasi. Besoknya Najib bergegas balik ke Malaysia.
“Idris Ahmad memang tidak perlu balik. Tetapi tunjuklah keperihatinan. Bukan setakat ambil maklum. Kebetulan sudah ada di Mekah, gunalah PR untuk berunding dengan kerajaan Saudi,” katanya.
Dia seterus memberikan contoh apabila pesawat Penerbangan Malaysia, MAS ditembak jatuh di Ukraine pada 2014, katanya, Najib sekali lagi menggunakan saluran tidak rasmi untuk membawa pulang mayat rakyat Malaysia.
“Itu namanya PR pemimpin. Najib guna diplomasi senyap berbincang melalui telefon dengan ketua pemisah (Ukraine). Sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelum ini.
“Mana PR Idris Ahmad dan Hadi (Awang) untuk bantu mangsa bakal Haji. Kalau PR bagus, sudah pasti Malaysia boleh dapat kuota haji tambahan,” katanya.
Puad juga menempelak Idris yang cuba menolak penipuan umrah dan haji, dengan alasan isu itu di bawah bidang kuasa Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
“Betullah, agensi pelancongan di bawah MOTAC. Tetapi urusan haji seperti visa dan kuota haji di bawah menteri agama. Tanggungjawab dia,” katanya.
Kira-kira 380 jemaah yang terkandas itu dipercayai menggunakan visa furada untuk menunaikan haji dan tidak melalui Tabung Haji (TH).
Puad juga menafikan kritikannya ke atas Idris dan Hadi sebagai percubaan untuk memburuk-burukkan PAS.
“Saya tidak sedar pun menteri dan timbalan menteri agama orang PAS. Saya pasti wakil khas PM ke Timur Tengah Presiden PAS.
“Pemimpin PAS (sebenarnya) ketandusan PR diplomasi,” katanya.