Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Mahathir tolak Anwar sebab takut kekayaan pemimpin terbongkar'

Ketua Cabang PKR Hulu Selangor Dr Sathia Prakash Nadarajan mendakwa Pejuang menolak idea Anwar Ibrahim mengetuai pembangkang kerana takut kekayaan pemimpin parti itu terbongkar jika presiden PKR menerajui kerajaan pusat.

Jelas Dr Prakash, pendirian Pejuang untuk memulihkan negara daripada gejala rasuah berbeza dengan agenda reformasi diperjuangkan oleh PKR.

"Banteras rasuah Pejuang di bawah pimpinan Dr Mahathir Mohamad adalah 'terpilih'. Lebih kepada membalas dendam atau demi agenda peribadi.

"Tetapi, agenda reformasi PKR adalah membanteras rasuah secara menyeluruh. Tidak pilih kasih. Mencari pesalah sampai ke lubang cacing.

"Inilah punca Pejuang dan Mahathir terus menolak Anwar kerana takut kekayaan luar biasa pemimpin-pemimpin Pejuang akan terbongkar jika dia menjadi perdana menteri," katanya kepada Malaysiakini.

Dr Prakash berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Timbalan Presiden Pejuang Marzuki Yahya baru-baru ini.

Marzuki dalam wawancara bersama Malaysiakini, berkata Pejuang menolak idea bahawa Anwar harus mengetuai pembangkang jika pendekatan "khemah besar" dipersetujui untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

"Sejak Langkah Sheraton, kita melihat PH hilang tumpuan, terutamanya semasa insiden pengundian bajet di mana gabungan itu tidak mempunyai keputusan yang jelas,” kata Marzuki (gambar, bawah).

Pendekatan khemah besar itu telah disokong oleh beberapa pemimpin PH agar gabungan itu bekerjasama dengan parti pembangkang lain bagi memastikan pertarungan lurus pada PRU15.

Ini selepas pilihan raya negeri Melaka dan Johor menyaksikan BN memenangi majoriti dua pertiga walaupun memenangi kurang daripada 45 peratus undi popular hasil sistem pilihan raya first-past-the-post (FPTP).

Bagaimanapun, Dr Prakash berkata Marzuki menolak kepimpinan Anwar tanpa asas kukuh.

"Kalau kita membaca wawancara, Marzuki tidak memberi sebarang sebab konkrit kenapa Anwar tidak boleh mengetuai pembangkang pada PRU15.

"Saya cabar Marzuki untuk memberi satu sebab realistik kenapa Anwar tidak boleh mengetuai pembangkang dan bakal perdana menteri pada PRU akan datang ini," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS