Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Penyanyi rap Altimet berkata tiada masalah dengan hubungannya dengan pelakon dan penerbit Hans Isaac, meskipun keputusan akhir jawatan ketua cabang PKR Ampang memihak kepadanya.

Mengakui terkejut dengan keputusan terbaru yang disiarkan pada laman web pemilihan parti semalam, Altimet atau nama sebenarnya Syed Ahmad Abdul Rahman Alhadad berkata dia telah reda dengan keputusan sebelum ini.

“Betul, ia (keputusan semalam) mengejut dan saya tak sangka ia akan berlaku sebab lepas pemilihan pertama tu saya dah ucap tahniah kepada pemenang, penilaian kedua juga saya dah ucap tahniah kepada Datuk Hans.

“Kalau nak gunakan bahasa orang putih tu, saya dah move on dah dan akan bekerjasama dengan mereka sebagai ahli biasa.

“Jadi memang ini agak mengejutkan tapi kita kena terimalah,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Keputusan pemilihan asal menunjukkan Daing Muhammad Reduan Bachok memenangi pertandingan dengan 942 undian menewaskan Hans atau nama sebenarnya Gerald Hans Isaac yang mendapat 609 undi, dan Altimet di tempat ketiga dengan 589 undi.

Bagaimanapun, susulan aduan salah laku, Jawatankuasa Pemilihan PKR melancarkan siasatan sebelum mendapati Daing terlibat dengan pembelian undi dan mengumumkan dia kehilangan kelayakan bertanding, di mana parti itu kemudian mengadakan pemilihan semula pada 29 Jun.

Sehari kemudian, kiraan undi tidak rasmi menunjukkan Hans Isaac mendahului dengan 748 undi, dan diikuti rapat oleh Altimet dengan 746 undi. Terbaru, malam semalam keputusan menunjukkan bahawa Altimet meraih 743 undi berbanding Hans Isaac, sebanyak 734.

Mengulas lanjut berhubung keputusan audit forensik terhadap keputusan pemilihan parti, Altimet berkata sebelum kemenangannya, dia menyokong kenyataan timbalan presiden parti Rafizi Ramli yang menasihatkan agar mereka yang kalah pada pemilihan menerima keputusan dan bersama mengukuhkan parti ke arah PRU15.

Dalam pada itu, Altimet berkata hans Isaac turut mengucapkan tahniah atas kemenangannya itu.

“Saya masih melihat dia sebagai abang saya. Antara kami tak ada isu...Jadi sesiapa yang cakap ada isu tu, semua tak benar.

“Sebelum keputusan berubah, saya dah ucap tahniah kepada dia. Saya cakap sebagai ahli biasa, (saya) sanggup sedia, ready dan kalau nak pertolongan, call saja. Kita tahu ini adatnya bila bersaing,” katanya.

Katanya, dia bersedia untuk memastikan Ampang kekal makmur dan pihaknya akan bersama meneliti isu-isu tertentu mengikut kawasan di sekitar, termasuk yang terpencil di Ampang.

“Saya dah cakap, lepas hari raya Aidiladha kita akan kumpul data, kita duduk dan akan buat satu rangka kerja untuk mana yang kita nak fokus dulu,” katanya.

Altimet, 43, menyertai parti itu pada April tahun lalu, bersama rakan penghibur Afdlin Shauki, manakala Hans, 51, menyertai PKR pada 2020 dan sebelum ini dikatakan akan bertanding di kerusi parlimen Ampang pada PRU15.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS