Satu lagi butiran yang didakwa mengesahkan wujud perjanjian di antara Ismail Sabri Yaakob dan Muhyiddin Yassin muncul hari ini.
Kali ini ia ditegaskan oleh bekas ketua setiausaha sulit Muhyiddin ketika presiden Bersatu itu menjadi perdana menteri, Marzuki Mohamad.
Kata Marzuki walaupun ada beberapa pihak menafikan Ismail Sabri dan Muhyiddin memeterai sebarang perjanjian mengenai jawatan timbalan perdana menteri, persefahaman itu memang ada.
"Saya ingin mengesahkan perjanjian ini wujud.
"Ia ditandatangani oleh Muhyiddin dan perdana menteri pada 17 Ogos 2021, disaksikan oleh seorang menteri dari Bersatu dan seorang lagi menteri dari Umno," katanya dalam kenyataan hari ini.
Malah kata Marzuki dia sendiri - sebagai pegawai perdana menteri kelapan Malaysia - terlibat secara langsung dalam perjanjian itu termasuk menyediakannya.
Isu perjanjian Bersatu-Ismail Sabri mula muncul selepas Muhyiddin mengesahkan dia bertemu dengan naib presiden Umno terbabit untuk berbincang mengenai kedudukan jawatan dalam kabinet.
Ia didedahkan Muhyiddin semasa berada di Kelantan pada 2 Julai lalu.
Bagaimanapun Ketua Penerangan Umno Malaysia, Shahril Hamdan, kemudian membuat penafian serta mempersoalkan mengapa ia hanya dibangkitkan sekarang
Shahril yang juga naib ketua Pemuda Umno itu menegaskan, hal berkenaan tidak pernah diumumkan atau dibincangkan. Justeru katanya dia menganggap dakwaan mengenai perjanjian berkenaan adalah rekaan semata-mata.
Sejak itu Bersatu-Perikatan Nasional (PN) mula berbalas-balas kenyataan. Tidak ketinggalan mengulas mengenainya Presiden PAS Abdul Hadi Awang. Untuk rekod PAS merupakan parti komponen PN.
Menegaskan tiada perjanjian dimeterai, Abdul Hadi semalam berkata PAS berpendapat tiada keperluan untuk mengadakan jawatan timbalan perdana menteri seperti yang diinginkan Bersatu.
Kata Marzuki ada sebab mengapa perjanjian tersebut tidak didedahkan.
"(Salah) Satu fasal dalam perjanjian ini menyebut bahawa dokumen perjanjian tidak boleh diterbitkan atau dizahirkan dalam apa-apa bentuk.
"Ia hanya boleh disimpan untuk rujukan kedua-dua pihak," katanya.