Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Umno saran k'jaan umum bantuan ekonomi menyeluruh
Diterbitkan:  Jul 9, 2022 11:48 AM
Dikemaskini: 3:48 AM

Umno menyarankan agar kerajaan mengumumkan pakej-pakej bantuan ekonomi kepada golongan yang terkesan secara menyeluruh dalam pembentangan Belanjawan 2023.

Presidennya Ahmad Zahid Hamidi berkata saranan itu dibuat kerana bayaran tambahan Bantuan Keluarga Malaysia yang sedia ada - iaitu RM50 dan RM100 - tidak mencukupi.

“Sebagai contoh, kerajaan perlu memberi fokus kepada anak-anak golongan kurang berkemampuan, sama ada di sekolah rendah, menengah mahupun di institusi pengajian tinggi.

“Lebih elok sejumlah wang Bantuan Sara Hidup kepada mahasiswa dan pelajar sekolah rendah dan menengah dilaksanakan bagi memastikan pembelajaran mereka tidak terkesan dengan kenaikan kos sara hidup hasil daripada kenaikan kadar dasar semalaman (OPR),” katanya.

Ahli parlimen Bagan Datuk itu berkata demikian untuk merujuk kepada keputusan Bank Negara Malaysia yang telah menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 2.25 peratus baru-baru ini.

Tambah Zahid, Belanjawan 2023 memerlukan perhatian dan pendekatan khusus kerajaan bagi memastikan tiada golongan yang tercicir dalam ketidaktentuan ekonomi semasa, dan kenaikan kos sara hidup yang semakin mencabar.

“Bantuan kewangan harus disandarkan kepada paras kemiskinan baru dan memfokuskan anak-anak Malaysia yang di sekolah rendah, menengah dan IPT, berdasarkan data yang terkini.

“Mekanisme pelaksanaan pula perlulah lebih efisien dan sampai hingga ke akar masyarakat yang sangat memerlukannya,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS