Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Altimet pula menang jawatan ketua cabang PKR Ampang

PEMILIHAN PKR | Penyanyi rap Altimet menang jawatan ketua cabang PKR Ampang, menurut keputusan terkini yang disiarkan di laman web pemilihan parti awal malam ini.

Ia kali ketiga keputusan bagi jawatan itu berubah sejak PKR mengadakan pemilihannya bulan lepas.

Keputusan pemilihan asal menunjukkan Daing Muhammad Reduan Bachok memenangi pertandingan dengan 942 undian menewaskan pelakon Hans Isaac yang mendapat 609 undi, dan Altimet, atau nama sebenarnya Syed Ahmad Abdul Rahman Alhadad, di tempat ketiga dengan 589 undi.

Bagaimanapun, susulan aduan salah laku, Jawatankuasa Pemilihan PKR melancarkan siasatan sebelum mendapati Daing terlibat dengan pembelian undi dan mengumumkan dia kehilangan kelayakan bertanding

Parti itu kemudian mengadakan pemilihan semula pada 29 Jun.

Sehari kemudian, kiraan undi tidak rasmi menunjukkan Hans Isaac mendahului dengan 748 undi, dan diikuti rapat oleh Altimet dengan 746 undi.

Dalam keputusan yang diterbitkan malam ini, kiraan undi menunjukkan bahawa Altimet meraih 743 undi manakala Hans Isaac 734.

Bagaimanapun, tidak dinyatakan jika keputusan ini muktamad. Malaysiakini telah menghubungi Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PKR Zaliha Mustafa untuk mendapatkan ulasan.

Altimet, 43, menyertai parti itu pada April tahun lalu, bersama rakan penghibur Afdlin Shauki, manakala Hans, 51, menyertai PKR pada 2020 dan sebelum ini dispekulasi dia akan bertanding di kawasan parlimen Ampang pada PRU15.

Pemilihan semula itu turut menyaksikan tiga lagi calon bertanding jawatan ketua cabang PKR Ampang iaitu Abdullah Md Zain, Sam Hoo Wai, dan Abdul Latif Shaari, manakala seorang lagi calon Abdul Halim Mohamed Yusof telah menarik diri daripada bertanding.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS