Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kenyataan saya terhadap Najib mesti dilihat dari konteks menyeluruh - Mat Hasan
Diterbitkan:  Jul 8, 2022 6:23 PM
Dikemaskini: 10:23 AM

Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan menegaskan bahawa kenyataannya yang dibuat dalam wawancara dengan Asia Times yang berpangkalan di Hong Kong baru-baru ini perlu dibaca secara menyeluruh dan dalam konteks bahawa semua individu harus mendapat perbicaraan yang adil.

Mohamad dalam satu kenyataan berkata, jika tidak pembaca akan mendapat "gambaran yang tidak tepat" daripada keseluruhan wawancara berkenaan.

"Sangatlah penting untuk saya menegaskan bahawa konteks keseluruhan temubual tersebut ialah penegasan saya bahawa setiap orang yang dituduh berhak menerima penghakiman yang adil tanpa sebarang konflik kepentingan, serta pengampunan di bawah undang-undang Malaysia hanya akan diberi selepas seorang tertuduh telah mula menjalankan hukuman.

"Segala yang di luar konteks tersebut hanya memberi gambaran negatif kepada Datuk Sri Najib dan diri saya serta dijadikan bahan propaganda musuh politik Umno.

"Saya tidak lagi berhasrat untuk mengulas perkara ini dan keseluruhan fokus saya ialah menyediakan parti untuk menghadapi PRU ke-15," kata Mohamad dalam kenyataan.

Mohamad, yang lebih dikenali sebagai Tok Mat, dilapor berkata dalam wawancara dengan Asia Times minggu lalu bahawa Najib harus "masuk ke dalam dahulu" sementara menunggu proses rayuan berhubung sabitan bersalah atas tuduhan rasuah berkaitan SRC International Sdn Bhd.

"Mahkamah adalah tempat di mana anda boleh membuktikan sama ada anda tidak bersalah atau tidak. Dia tidak membuktikannya. Dia tidak dapat membuktikannya.

"Semua orang perlu membayar harga masing-masing. Tetapi jika kita mahu mengampunkan, dia (Najib) perlu melalui proses itu. Dia perlu masuk ke dalam dahulu," Mohamad dipetik sebagai berkata dalam wawancara itu.

Bagaimanapun, Mohamad kemudian menjelaskan bahawa dia memaksudkan bahawa Najib perlu menghadapi akibatnya jika Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dalam kes SRC.

Susulan penerbitan wawancara dengan Asia Times, yang turut dipetik oleh media tempatan, Mohamad mendakwa kenyataannya diambil di luar konteks.

Berhubung petikan wawancara itu, Asia Times secara khusus bertanya kepada Mohamad apakah dia akan berasa sedih sekiranya Najib dipenjarakan.

Mohamad menjawab bahawa walaupun dia berasa kasihan terhadap Najib sebagai seorang kawan, namun sesiapa yang berada dalam kedudukan yang sama perlu 'membayar harganya' sebelum dipertimbangkan untuk pengampunan.

Laporan yang dikarang bersama oleh Kochan dan Nile Bowie itu diterbitkan dengan tajuk “Umno’s No 2 thinks Najib should go to jail” (Orang No 2 dalam Umno berpandangan Najib patut masuk penjara").

Asia Times, bagaimanapun, mempertahankan ketepatan laporan mereka dan mengeluarkan rakaman audio daripada keseluruhan wawancara itu untuk dinilai oleh orang ramai.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS