Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Khairy: Kes positif cacar monyet pernah ke JB, P Pinang

Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan seorang warga Malaysia dijangkiti cacar monyet ketika di Singapura.

KKM juga berkata pihaknya telah mengenal pasti seorang kontak rapat dan 14 orang kontak kasual pesakit tersebut.

Menterinya Khairy Jamaluddin berkata lelaki itu tinggal di Singapura namun berada di Johor Bahru pada 11 dan 12 Jun lalu.

"Dia alami gejala belur (lesion) kulit pada 30 Jun dan disahkan positif pada 6 Julai.

"Pada 17 hingga 20 Jun, dia telah melancong ke Pulau Pinang bersama kawan dan keluarga, pada masa itu tiada gejala.

"Pada 2 dan 3 Julai, dia sekali lagi ke Johor Bahru, ketika itu lelaki ini sudah ada gejala.

"KKM telah adakan siasatan terhadap individu tersebut yang dengan sukarela memberi maklumat kontak rapatnya," katanya dalam sidang media di Parlimen hari ini.

Khairy berkata 14 kontak kasual berada di Malaysia manakala seorang kontak rapat kembali bersama-sama pesakit ke Singapura.

Kontak rapat tersebut telah diletakkan dalam kuarantin oleh pihak berkuasa kesihatan Singapura, katanya lagi.

"14 kontak kasual berisiko rendah kerana tiada gejala. Kita sudah maklumkan kepada mereka untuk buat saringan kendiri dan jika dapati ada gejala, mereka perlu segera ke fasiliti KKM untuk rawatan," katanya lagi.

Pihak berkuasa masih belum mengenal pasti punca jangkitan, termasuk jika pesakit itu dijangkiti di Singapura atau ketika berada di Malaysia.

Namun, kata Khairy lagi, setakat ini belum ada kes jangkitan cacar monyet yang dilaporkan di Malaysia.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS