Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Prosiding hina mahkamah terhadap Lokman didengar 3 Ogos
Diterbitkan:  Jul 8, 2022 5:01 PM
Dikemaskini: 9:01 AM

Prosiding menghina mahkamah terhadap bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Datuk Lokman Noor Adam didakwa mengeluarkan kata-kata tidak wajar kepada seorang anggota polis dan mempersoalkan sistem mahkamah dalam perbicaraan kes Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, akan didengar 3 Ogos ini.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah menetapkan tarikh itu selepas peguam K Balaguru yang mewakili Lokman memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya mahu prosiding itu diteruskan selepas dinasihatkan supaya tidak membuat permohonan maaf atas perkara yang tidak dilakukannya.

"Kejadian itu berlaku di galeri awam dan tidak mengganggu prosiding mahkamah yang sedang berlangsung ketika itu,” kata peguam itu yang turut memaklumkan anak guamnya telah membuat surat berhubung permohonan maaf kepada mahkamah, Isnin lepas.

Apa urusan Lokman di mahkamah?

Hakim Sequerah yang merujuk surat permohonan maaf yang ditulis oleh Lokman bagaimanapun berkata:

“Kita tidak boleh membenarkan orang awam datang ke mahkamah dan buat peraturan sesuka hati ketika kes sedang berjalan dan mencabar polis melakukan kerjanya.

“Apa urusan dia (Lokman) di mahkamah, dia bukan wartawan mahkamah dan bukan peguam pemerhati.”

Hakim itu turut menolak permohonan Lokman supaya prosiding itu didengar di hadapan hakim lain kerana kejadian itu berlaku di mahkamahnya dan beliau berhak mendengar kes itu.

Hakim Collin Lawrence Sequerah.

“Sekiranya kes itu didengar di hadapan hakim lain, ia juga membabitkan isu yang sama, jadi saya berhak untuk mendengar kes ini,” kata hakim itu.

Terdahulu, Balaguru memohon supaya prosiding itu didengar di hadapan hakim lain kerana ia hanya bersandarkan kepada dengar cakap ‘hear say’.

“Anak guam saya tidak memanggil anggota polis mahkamah itu ‘bodoh’ seperti yang dimaklumkan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Raja Toran, yang mengendalikan kes Ahmad Zahid kepada mahkamah pada 30 Jun lalu, sebaliknya menyatakan prosedur operasi standard (SOP) mahkamah 'bodoh' kerana bersikap tidak adil kepadanya.

"Anggota polis itu memberitahu perlakuan anak guam saya kepada penolong kanan pendaftar yang kemudian memberitahu perkara itu kepada Raja Rozela sebelum dimaklumkan kepada mahkamah,” kata peguam itu dan menambah kejadian itu sepatutnya disiasat terlebih dahulu sebelum mahkamah mengeluarkan notis tunjuk sebab kepada Lokman.

Ikuti peraturan

Timbalan Pendakwa Raya, Izalina Abdullah, yang membantu mahkamah dalam prosiding itu, membantah permohonan peguam supaya hakim lain mendengar kes itu kerana kejadian tersebut berlaku di hadapan Hakim Sequerah dan beliau berhak mendengarnya.

“Isu menghina mahkamah ini bukan melibatkan penggunaan telefon, sebaliknya melibatkan kehormatan sistem kehakiman yang ketika itu prosiding perbicaraan sedang berlangsung di mahkamah.

"Apabila masuk di sesuatu tempat, ada peraturan yang perlu diikuti supaya prosiding berjalan lancar dan apabila seseorang itu tidak mengikut peraturan, ia dikira sebagai menghina mahkamah,” kata Izalina.

Dalam pada itu, Balaguru berkata beliau akan memfailkan notis sapina kepada Raja Rozela minggu depan untuk menyoal balasnya di mahkamah, namun ia dibantah oleh Izalina atas alasan sudah memadai dengan memanggil polis mahkamah itu bagi memberikan keterangan.

Hakim Sequerah kemudian berkata peguam itu boleh memfailkan notis sapina terhadap Raja Rozela.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS