Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Saravanan: Saya tiada maklumat siasatan SPRM terhadap Bestinet

Menteri Sumber Manusia M Saravanan berkata dia tiada sebarang maklumat berhubung siasatan SPRM terhadap dakwaan penyelewengan dalam pemilihan 25 syarikat Bangladesh sebagai ejen merekrut pekerja negara itu ke Malaysia.

Antara yang disiasat adalah syarikat Bestinet dan pengasasnya, Mohd Amin Abdul Nor.

"Saya tak tahu. Saya tak ada maklumat. Saya pun dengar juga.

"Siasatan itu biasalah semua. Bila ada aduan, ataupun tuduhan, pihak berkuasa akan siasat... tak salah," katanya selepas menghadiri Program MIC di Sekolah Kebangsaan Jenis Tamil Ampar Tenang, hari ini.

Dia berkata demikian ketika diminta mengulas siasatan SPRM terhadap syarikat itu, yang membekalkan Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS), iaitu platform dalam talian yang digunakan untuk menguruskan pengambilan pekerja asing.

Dalam pada itu, Saravanan berkata bahawa dia juga tidak mempunyai maklumat jika ada individu yang ditahan dalam siasatan itu.

"Kena tanya SPRM. Bukan saya. Mana saya tahu siapa kena tahan," katanya.

Pada 6 Julai, Akhbar Bangladesh, The Business Post memetik sumber diplomatik dari Kuala Lumpur sebagai berkata, Amin bersama beberapa pegawai syarikat yang lain. disoal siasat di pejabat Bestinet Sdn Bhd (Bestinet) di Cyberjaya.

Laporan itu berkata Amin antara lain disoal mengenai dakwaan hubungan rapatnya dengan Saravanan, berhubung proses pemilihan 25 syarikat sebagai ejen merekrut pekerja asing ke Malaysia.

Turut sama disoal siasat SPRM adalah pegawai di Suruhanjaya Tingginya di Kuala Lumpur, Md Nazmus Sadat Salim.

Saravanan sebelum ini mempertahankan hak Malaysia untuk mengehadkan bilangan ejen yang dibenarkan menghantar pekerja ke Malaysia kepada 25 ejen dan 250 sub-ejen, di tengah tekanan pemain

Dia juga menafikan dakwaan yang mengaitkan Bestinet dan Amin dengan satu "sindiket" membekalkan tenaga kerja Bangladesh ke Malaysia.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS