Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
400 bakal jemaah haji kandas di KLIA, menteri mahu siasatan terperinci

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad mahu pihak berkuasa menjalankan siasatan terperinci mengenai isu hampir 400 bakal jemaah haji terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam.

Mengambil maklum isu berkenaan, Idris berkata sekiranya terdapat sebarang unsur penipuan, pihak terbabit perlu dibawa ke muka pengadilan dan diberikan hukuman yang setimpal.

Katanya, tindakan itu sebagai pengajaran kepada semua pihak agar kes sedemikian tidak berulang lagi.

"Saya melahirkan rasa kecewa mengenai insiden yang tidak sepatutnya berlaku apatah lagi ia melibatkan urusan Rukun Islam yang perlu dipandang berat oleh semua umat Islam, termasuklah pihak agensi yang menguruskan jemaah haji," katanya dalam kenyataan hari ini.

Kira-kira 380 bakal jemaah haji dilaporkan terkandas di KLIA semalam dipercayai menjadi mangsa penipuan sebuah agensi pelancongan.

Bakal jemaah itu dipercayai menggunakan visa furada untuk menunaikan haji dan tidak melalui Tabung Haji (TH).

Dalam pada itu, Idris turut meminta rakyat Malaysia terutamanya umat Islam agar berwaspada dan berhati-hati dalam kes sedemikian, serta mendapatkan nasihat daripada TH walaupun menggunakan khidmat agensi luar untuk mengerjakan haji.

"Saya memohon kepada pihak yang teraniaya dan seluruh keluarga yang terlibat agar tabah dan terus mengambil peluang pada Hari Arafah untuk bermunajat dan memanjatkan doa bagi mendapatkan keredaan Allah, walaupun tidak dapat hadir menunaikan haji di Tanah Suci Makkah," katanya.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS