Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor berkata dia tidak pasti bagaimana ladang durian Musang King, yang disalahkan oleh penduduk atas insiden banjir lumpur, sehingga menyebabkan kemusnahan di kampung berhampiran Baling, Kedah mendapat kelulusan daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS).
Sanusi berkata dia bingung kerana kelulusan penilaian impak alam sekitar (EIA) adalah ketat, di mana terdapat syarat bahawa projek pembangunan di paras ketinggian lebih 300 meter dari aras laut adalah tidak dibenarkan sama sekali.
"Saya rasa setiap ladang hutan sepatutnya ada (laporan) EIA, macam mana EIA boleh lepas? Dulu ada ketetapan dalam undang-undang bahawa mana-mana tanah yang lebih 1,000 kaki (304 meter) pokok tidak boleh tebang atau disentuh.
"Tetapi dalam lawatan saya semalam, sampai ke puncak tiada pokok balak, yang ada pokok biasa. Penerokaan itu berlaku sampai ke atas, perkara ini perlu dijelaskan jabatan terbabit.
"Saya tidak tahu (bagaimana kelulusan) diberi pada ladang hutan, patut kena ada EIA. Macam-macam syarat ditetapkan dalam kelulusan itu sepatutnya," katanya lapor BH Online semalam.
Semakan Malaysiakini di portal EIA JAS tidak menemui rekod EIA untuk ladang durian di Hutan Simpan Gunung Inas.
Sanusi sebelum itu menegaskan bahawa tiada bukti yang dapat mengaitkan kejadian banjir dan kewujudan ladang tersebut, yang mengakibatkan tiga nyawa terkorban dan menyebabkan lebih 1,000 penduduk di kampung hilir kehilangan tempat tinggal.
Dia sebaliknya berkata bencana itu berpunca daripada hujan lebat yang membawa kepada jumlah air terkumpul yang luar biasa di kawasan tadahan.
Katanya, empangan yang dibina di atas gunung itu untuk projek Musang King juga masih kukuh.