Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Syed Saddiq mohon maaf buat kenyataan terbuka tentang kes

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hari ini membuat permohonan maaf selepas membuat kenyataan terbuka berhubung kes penyelewengan RM1.2 juta terhadapnya yang kini sedang dibicarakan.

Ia selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memberikan amaran terakhir kepadanya, selepas membuat kenyataan terbuka ketiga berkenaan perkara itu.

"Saya benar-benar memohon maaf (my humblest apology)," katanya daripada kandang tertuduh, kepada pesuruhjaya kehakiman Azhar Abdul Hamid yang mengendalikan perbicaraan.

Amaran terakhir yang diberikan mahkamah hari ini berhubung hantaran Syed Saddiq di media sosial semalam berkaitan kesahihan keterangan saksi pendakwaan utama, bekas bendahari Pemuda Bersatu Rafiq Hakim Razali.

Pada 19 Januari lalu, mahkamah menasihati bekas menteri belia dan sukan itu agar berhati-hati membuat kenyataan media berkenaan perbicaraannya. peringatan itu diberikan oleh hakim yang mendengar perbicaraan ketika itu, Mohamed Zaini Mazlan.

Kemudian, pada 4 Julai, mahkamah sekali lagi memberi peringatan kepadanya berhubung perkara sama. Pasukan peguam memohon maaf bagi pihaknya di mahkamah.

Peringatan hari ini adalah yang kali ketiga dibuat terhadap Syed Saddiq, yang didakwa atas empat pertuduhan ketika menjadi ketua Pemuda Bersatu pada 2020.

Terdahulu hari ini, timbalan pendakwa raya Wan Shaharuddin Wan Ladin memberitahu Azhar bahawa pihak pendakwaan sedang menimbang untuk memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap Syed Saddiq, susulan beberapa peringatan yang telah diberikan.

Rafiq Hakim Razali

Dia merujuk laporan polis terbaru berhubung hantaran dibuat Syed Saddiq, dan mendakwa insiden terbaru itu boleh dianggap sub judice (di mana sesuatu perkara itu tidak boleh dibincang di peringkat awam kerana sedang dibicarakan).

"Ini telah berlaku beberapa kali, dia (Syed Saddiq) telah diingatkan oleh hakim (Mohamed) Zaini (Mazlan), tetapi ia masih berlaku di mana dia memberi komen berkenaan kredibiliti saksi (Rafiq).

"Tugas mahkamah untuk membuat dapatan berkenaan fakta tentang kredibiliti saksi," katanya.

Peguam Gobind Singh Deo kemudian memohon maaf kepada mahkamah dan menjelaskan anak guamnya telah memadam hantaran yang dimuat naik di Instagram itu.

Azhar kemudian mengeluarkan amaran terakhir kepada pihak terlibat dan mengingatkan bahawa ada hakim lain yang telah membangkitkan perkara itu kepadanya.

Sementara itu, mahkamah memutuskan 18 Julai ini untuk memberikan keputusan terhadap permohonan peguam Syed Saddiq untuk mengetepikan keterangan yang dibuat Rafiq.

Ia selepas Wan Shaharuddin dan Gobind menyampaikan hujah mereka berhubung merit permohonan tersebut.

Pihak peguam mendakwa keterangan lisan Rafiq di mahkamah tidak konsisten.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS