Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Isham: Umno terus kuat walau cuba dilaga-lagakan
Diterbitkan:  Jul 8, 2022 11:26 AM
Dikemaskini: 3:33 AM

Umno akan terus kuat walaupun terdapat "dugaan dan propaganda politik" untuk memecahbelahkan parti itu, kata ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Isham Jalil.

Isham secara khusus merujuk kepada wawancara Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan berkaitan bekas perdana menteri Najib Razak yang didakwa diputarbelitkan.

Melihat situasi tersebut, Isham berkata terdapat pihak seperti PH dan Perikatan Nasional (PN) yang gembira melihat cubaan melaga-lagakan pemimpin Umno itu berlaku, memandangkan mereka tidak mampu mengalahkan Umno secara sendiri.

“Ada juga saya dengar khabar yang ada seorang atau dua pemimpin Umno penyokong Muhyiddin yang ingin supaya cerita ini disensasikan. Mereka ini adalah duri dalam daging,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dia mengulas laporan wawancara Mohamad dengan portal Asia Times yang bertajuk “Umno’s No.2 thinks Najib should go to jail" yang mengundang perhatian sebelum ini.

Mohamad bagaimanapun menafikan perkara tersebut dan mengatakan kenyataannya diambil di luar konteks. Wartawan Asia Times Nick Kochan kemudian mempertahankan tulisannya itu dengan berkongsi rakaman audio wawancara terbabit.

Mengulas lanjut, Isham berkata dia mengenal rapat bekas menteri besar Negeri Sembilan itu, Najib Razak dan juga Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

Dia berkata hubungan antara ketiga-tiga pemimpin itu amat baik.

“Saya lihat bahawa keakraban ketiga-tiga pemimpin ini di puncak kepimpinan Umno membuatkan Umno dan BN menjadi semakin kuat.

“Oleh itu ada pihak-pihak tertentu yang tidak selesa dan tercabar dengan keadaan ini, dan mereka cuba sedaya upaya untuk memecahkan keakraban ketiga-tiga pemimpin Umno ini supaya Umno dan BN menjadi lemah.

“Pihak-pihak yang mahu melemahkan Umno ini tidak akan berjaya, mereka telah cuba sekian lama tetapi gagal, waima ingin membubarkan Umno dan menekan pemimpin-pemimpin Umno dengan kes-kes pendakwaan terpilih,” katanya lagi.

Katanya lagi, ahli akar umbi Umno juga tidak mudah termakan dengan usaha memecahbelahkan parti, sama ada dibuat oleh pihak luar mahupun orang dalaman yang menjadi "api dalam sekam".

“Akar umbi Umno tetap setia kepada parti dan saya pasti Umno akan terus mara walaupun dengan dugaan dan propaganda politik untuk memecahbelahkan Umno seperti yang berlaku di kebelakangan ini,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS