Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PRU segera untuk bentuk kerajaan stabil - Razlan

Pilihan raya umum ke-15 (PRU15) perlu diadakan segera bagi membolehkan kerajaan yang baru dibentuk.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Razlan Rafii, berkata perlu diakui kerajaan yang ada hari ini tidak stabil walaupun wujud memorandum persefahaman (MoU) dengan pembangkang.

Katanya, keadaan itu boleh membuka ruang kepada pembangkang untuk ‘mengugut’ kerajaan bagi memenuhi kehendak mereka dan “mendapatkan imbuhan tertentu”.

"Apa pun kerajaan ini adalah kerajaan yang tidak stabil. Kerana kita terikat dengan perkara tidak produktif.

"Sebab itu Umno minta bentuk kerajaan baru. Insya-Allah kerajaan yang dibina nanti kerajaan yang stabil dan boleh melaksana polisi, dasar dalam manifesto tanpa gangguan. Sebab itu kita kena buat secepat mungkin pilihan raya," katanya kepada Malaysiakini.

Bulan lalu, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan yang ada ketika ini masih stabil dan tidak berlaku pertembungan sesama sendiri antara pemimpin parti di dalam kerajaan.

"Semua perdana menteri tak bincang soal tarikh PRU, jadi ini beri kesan kepada kestabilan politik, kalau kita bincang jadi akhirnya tumpuan kita lebih kepada soal pilihan raya.

"Tetapi PRU tetap ada semakin hari semakin hampir dengan tarikh PRU15," katanya.

Bagaimanapun desakan demi desakan terus dilakukan oleh pemimpin Umno agar Ismail membubarkan parlimen.

Kelmarin, Malaysiakini melaporkan Ketua Umno Bahagian Paya Besar, Ahmad Tajuddin Sulaiman, berkata, parti Melayu itu memerlukan mandat baru yang lebih stabil jika ingin terus dihormati.

Katanya, walaupun wakil Umno memegang jawatan perdana menteri, namun kerajaan yang ada hari ini adalah kerajaan 'diwarisi' daripada gabungan Perikatan Nasional (PN) selepas Langkah Sheraton pada Februari 2020.

Dalam pada itu Razlan berkata, ketidakstabilan kerajaan akan membawa kerugian kepada rakyat khususnya dari segi ekonomi.

"Dari sudut pelaburan, jika situasi kita tidak stabil sudah tentu hari ni mereka tak ambil risiko. 22 bulan Pakatan Harapan (PH) memerintah banyak pembatalan projek-projek dilakukan.

"Malah hari ini pelabur lebih meyakini negara jiran kita seperti Myanmar, Vietnam, Kemboja mahupun Indonesia yang dilihat politik mereka lebih stabil," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS