Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pulau Pinang hantar wira oren MBPP, MBSP bantu mangsa banjir Baling

Kerajaan Pulau Pinang menghantar kakitangan dan 'wira oren' Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) serta Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dalam misi bantuan bencana banjir ke Baling, Kedah.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata bagi MBSP, seorang pegawai dan 20 petugas wira oren bertolak ke Baling semalam, manakala 38 lagi petugas MBPP digerakkan pada pagi tadi.

Katanya selain kerajaan negeri, beberapa badan bukan kerajaan (NGO) termasuk bomba sukarela juga ke daerah tersebut sejak Selasa untuk memberi bantuan kecemasan kepada penduduk yang terlibat.

"MBSP membawa lima kenderaan iaitu sebuah lori tangki, sebuah lori roro, sebuah kren, sebuah tail lift dan sebuah keeper.

"Selain itu, mereka turut dilengkapi peralatan lain seperti gergaji rantai, pemotong dan penyembur air (water jet).

"Pasukan bantuan MBPP pula dilengkapi peralatan dan jentera seperti lori combi, lori HST, skid loader, SSL (bobcat), multi purpose loader dan sebagainya," katanya di George Town hari ini.

Chow ditemui selepas menghadiri majlis menandatangani memorandum persefahaman (MOU) bersama International Advertising Association World Congress.

Chow berkata kesemua petugas akan menjalankan kerja-kerja utama seperti mengalihkan pokok yang tumbang, mencuci rumah, selut dan mengalihkan perabot yang telah rosak.

Selain bantuan pembersihan, kata Chow, Mutiara Food Bank juga telah menghantar makanan yang telah dimasak ke kawasan tertentu.

"Kami berharap dengan bantuan yang disalurkan pelbagai pihak, kehidupan penduduk yang terlibat akan kembali normal selepas ini," katanya.

Chow berkata kerajaan negeri turut melahirkan rasa simpati terhadap mangsa banjir di daerah Baling yang kehilangan harta benda dalam kejadian Isnin lepas.

Dalam kejadian kira-kira 4 petang itu banjir dan fenomena kepala air di Baling mengakibatkan tiga nyawa terkorban dan lebih 1,400 penduduk dipindahkan ke tiga pusat pemindahan sementara selain tujuh rumah musnah dihanyutkan air serta kira-kira 70 rumah rosak akibat kejadian itu.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS