Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur diberitahu bahawa peguam diraja (QC) dari United Kingdom (UK) tidak mewakili Najib Razak ketika kes rasuah SRC International berjumlah RM42 juta terhadap bekas perdana menteri itu dibawa ke mahkamah pada 2018.
Timbalan pendakwa raya V Sithambaran berkata demikian dalam hujahnya ketika pendengaran permohonan untuk membenarkan peguam tersebut, Jonathan Laidlaw untuk diterima dalam Badan Peguam Malaysia secara sementara, agar dia dapat mewakili Najib dalam permohonan Najib di Mahkamah Persekutuan.
Sithambaran berkata bantuan QC itu tidak diperlukan jika dibandingkan dengan pasukan peguam Najib yang diketuai Muhammad Shafee Abdullah yang telah mewakilinya ketika perbicaraan di peringkat Mahkamah Tinggi sehinggalah rayuan di Mahkamah Rayuan.
Membantah permohonan Najib, Sithambaran memetik keputusan Mahkamah Persekutuan yang menolak permohonan yang dibuat pada 2006 untuk membenarkan peguam United Kingdom (UK) Cherie Booth, yang juga isteri kepada bekas perdana menteri UK Tony Blair, untuk mewakili sebuah parti politik dalam satu kes di mahkamah Malaysia.
"Perayu (Booth) tiada ketika perbicaraan di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan. Maka persoalannya setakat mana perayu dapat secara berkesan membantu di Mahkamah Persekutuan?
"Pastinya, seorang peguam luar seperti perayu, yang kurang pengetahuan tempatan dan tidak pernah menangani perbicaraan dan rayuan, kurang berupaya dalam menangani rayuan di Mahkamah Persekutuan," katanya ketika memetik keputusan itu.
Mahkamah Persekutuan menetapkan 10 hari pada Ogos ini untuk mendengar rayuan terakhir Najib untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta, atas satu pertuduhan salah guna kuasa, tiga pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT) dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana SRC berjumlah RM42 juta.
Pada 8 Disember tahun lalu, Mahkamah Rayuan menolak permohonan Najib untuk membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mendapatinya bersalah serta menjatuhkan hukuman terhadapnya.