Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil berkata sikap sesetengah ahli politik menjadi punca penggubalan undang-undang baru - termasuk Akta Antilompat Parti - tertangguh sehingga kini.
Kata wakil rakyat dari PKR itu ahli politik terbabit menjadikan isu berkenaan sebagai bahan tawar-menawar mereka.
Dia yang menganggotai jawatankuasa pelbagai parti bagi mengawasi pelaksanaan pembaharuan sistem yang dipersetujui Pakatan Harapan (PH) dengan kerajaan berkata, tindakan ahli politik terbabit seolah-olah mempermain demokrasi.
Katanya Akta Antilompat Parti itu kini menjadi seperti perang proksi.
"Mereka itu bertelagah atas sesuatu yang lain tetapi mereka menggunakan (rang undang-undang - RUU - tersebut) sebagai alat.
"Mereka bukannya bertelagah mengenai butiran akta tersebut, atau prinsipnya tetapi ia menjadi alasan.
"Mungkin bagi sesetengah mereka, ia menjadi alat tawar-menawar, tetapi bagi saya kita tak patut meletakkan demokrasi Malaysia dalam keadaan begitu," katanya.
Tambah Fahmi sangat tidak wajar untuk sesiapa pun menjadikan demokrasi negara ini sebagai alat untuk tawar-menawar sebarang ahli politik kerana ia adalah milik rakyat.
Justeru kata pengarah komunikasi PKR itu, tidak sepatutnya sesuatu yang menjadi milik orang ramai dipermainkan.
Fahmi berkata demikian kepada media di majlis forun anjuran Bersih dan Majlis Peguam Malaysia di Petaling Jaya hari ini. Dia merupakan salah seorang panel yang berucap dalam majlis membincangkan keperluan mengehadkan tempoh seseorang menjadi perdana menteri.
Terdahulu Fahmi memberitahu majlis berkenaan serba sedikit pengalamannya berada dalam jawatankuasa berkenaan dan pernah berlaku perbincangan yang tegang di antara pihak pembangkang dan wakil parti dalam kerajaan.
Misalnya, kata Fahmi, dalam salah satu pertemuan Bersatu diwakili Ahli Parlimen Alor Gajah, Redzuan Md Yusof.
Katanya perbincangan itu sangat menarik tapi dia tidak bercadang untuk mendedahkannya di majlis tersebut.
Untuk rekod, Redzuan - yang pernah dilantik menjadi menteri tugas-tugas khas di Jabatan Perdana Menteri - sepatutnya menjadi salah seorang panel yang berucap di program berkenaan. Bagaimanapun dia tidak hadir pada pagi tadi.
Semasa disoal media di luar acara tersebut Fahmi enggan mendedahkan dengan lebih lanjut watak ahli politik yang diceritakannya menjadikan RUU Akta Antilompat Parti sebagai bahan tawar-menawar mereka.
Bagaimanapun dia memberi bayangan perkembangan itu ada kaitan dengan kemelut yang melanda parti politik yang menjadi kerajaan sekarang.