Kerajaan Kelantan menghulurkan sumbangan RM50,000 bagi membantu mangsa bencana banjir yang berlaku di Baling, Kedah.
Menteri besarnya Ahmad Yakob berkata Kelantan merakamkan takziah kepada mangsa bencana banjir di sana yang menyebabkan kehilangan jiwa dan kemusnahan harta benda.
"Sebagai tanda solidariti dan kebersamaan, kerajaan negeri bersetuju menyampaikan RM50,000 kepada kerajaan Kedah melalui sumbangan Tabung Serambi Mekah.
"Semoga usaha-usaha pasukan keselamatan dan sukarelawan dipermudahkan Allah bagi melancarkan operasi pemulihan pasca bencana," katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu insiden banjir dan fenomena kepala air yang berlaku pada kira-kira empat petang dua hari lalu di Baling telah mengakibatkan tiga nyawa terkorban dengan tiga PPS dibuka bagi menempatkan lebih 1,400 mangsa banjir.