Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Ribuan diarah berpindah di Sydney akibat banjir

GLOBAL l Imej satelit hari ini menunjukkan ribut yang membadai beberapa kawasan di Sydney berserta hujan lebat selama empat hari lalu telah meninggalkan bandar itu, namun beberapa sungai masih berada pada paras bahaya yang memaksa penduduk sekitar untuk berpindah.

Lebih 85,000 penduduk di New South Wales, dengan kebanyakan mereka di barat pinggir bandar Sydney, diminta berpindah atau bakal menerima arahan berpindah, berbanding hanya 50,000 penduduk semalam, kata pihak berkuasa.

"Ini masih kekal sebagai situasi berbahaya dan kami perlu bertindak dengan sewajarnya," kata Perdana Menteri Anthony Albanese semasa taklimat media, sambil mengisytiharkan pembayaran tunai kecemasan sebanyak A$1,000 (RM3,000) secara sekali bayar untuk penduduk yang yang terkesan banjir.

Ribut dengan tekanan rendah berhampiran pesisir timur Australia itu dilaporkan sedang bergerak ke pesisir utara menuju ke tengah New South Wales sepanjang 300 kilometer (km), dan biro cuaca meramalkan hujan melebihi 200 milimeter (mm) di kawasan itu dalam tempoh enam jam.

Hujan lebat berterusan sejak Sabtu lalu menyebabkan air di kawasan takungan sungai semakin menghampiri kapasiti penuh di sekitar Sydney, dengan pihak berkuasa memberi amaran bahawa krisis banjir kali ini mungkin berterusan hingga awal minggu depan..

Cuaca di pesisir timur Australia kini dipengaruhi La Nina selama dua tahun berturut-turut, fenomena yang dikaitkan dengan jumlah hujan lebih tinggi. Fenomena itu berakhir bulan lalu, namun terdapat kemungkinan ia berulang tahun ini, kata Biro Meteorologi Australia.

Siaran televisyen menunjukkan kereta diletakkan di atas bumbung, dengan penduduk meletakkan beg pasir di sepanjang rumah dan bangunan perniagaan mereka, manakala anggota penyelamat dilihat menyelamatkan haiwan ternakan yang terperangkap.

Beberapa kawasan di New South Wales dilanda hujan sebanyak 700 mm sejak Sabtu lalu, lebih tinggi daripada purata tahunan, namun hujan mulai reda di Sydney.

"Kami meramalkan cuaca kering (di Sydney) esok dan Jumaat serta sedikit hujan pada hujung minggu, namun tidak selebat ketika ini," kata pakar kaji cuaca, Jonathan How kepada Australian Broadcasting Corp.

- Reuters


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS