Wartawan Asia Times Nick Kochan mempertahankan wawancaranya dengan Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan berikutan dakwaan bahawa laporannya mengambil kenyataan Mohamad di luar konteks.
"Kami tetap dengan laporan kami," katanya di Twitter, bersama dengan pautan untuk memuat turun rakaman audio daripada wawancara itu.
Bercakap kepada Malaysiakini, Kochan mengesahkan rakaman itu adalah sahih dan berkata Mohamad sedar wawancara itu dirakam.
“Lazimnya saya tidak mengeluarkan audio (rakaman) sebegitu, tetapi Tok Mat (Mohamad) cuba mempertikaikan ketepatan artikel itu. Pembaca boleh mendengar audio dan menilai sendiri,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Kochan berkata Mohamad membuat beberapa kenyataan semasa wawancara itu, seperti menegaskan bahawa bekas perdana menteri Najib Abdul Razak perlu mendapatkan perbicaraan yang adil dan menjalani hukuman penjara sebelum mendapat pengampunan.
"Saya memberi Tok Mat platform, dan dia jelas dalam mesejnya tentang kebimbangannya berkenaan dengan tingkah laku bekas perdana menteri itu," katanya.
Fail audio yang disiarkan secara dalam talian terdiri daripada tiga rakaman berasingan yang berjumlah kira-kira 75 minit. Bahagian wawancara yang dipertikaikan itu pada minit 23 dalam rakaman kedua.
Terjemahan petikan bahagian wawancara itu, berdasarkan rakaman, adalah seperti di bawah. Versi asal petikan itu dalam bahasa Inggeris boleh dibaca di sini:
Pewawancara: Adakah anda akan berasa kasihan jika Najib masuk penjara?
Mohamad: Sudah tentu, sebagai seorang kawan, saya berasa kasihan, tetapi semua orang perlu... anda perlu menghadapi apa sahaja...
Pewawancara: Tanggung kesan tindakan mereka?
Mohamad: Tanggung kesan tindakan mereka, bukan? Jika anda mahukan pengampunan, anda perlu melalui proses tersebut. Anda kena masuk dalam (penjara) dulu. Anda tidak boleh diampunkan sebelum anda melalui proses; itu salah. Itu salah sama sekali.
Pewawancara: Untuk diampunkan tanpa proses?
Mohamad: Ya.
Pewawancara: Jadi prosesnya memerlukan sedikit masa, kemudian...
Mohamad: Ya. Ramai pemimpin Umno, pemimpin terkemuka, sebelum ini Datuk Harun Idris, menteri besar Selangor, paling berkuasa masa tu, dia kena masuk dalam penjara. Mokhtar Hashim, dia terpaksa masuk. Semua orang perlu masuk dalam penjara sebelum anda mendapat pengampunan, semudah itu. Tidak ada cara lain.
Pewawancara: Jadi, tiada layanan istimewa?
Mohamad: Tiada layanan istimewa. Itulah sebabnya sekarang, apabila orang berkata: "Oh Umno, apabila mereka berkuasa, mereka akan mengampunkan, mereka akan menggugurkan kes itu."
Tetapi kini perdana menteri daripada Umno, tetapi kes Zahid masih diteruskan. Sebab itu kempen Pakatan Harapan semasa pilihan raya negeri Melaka dan Johor, mereka berkata: "Oh, jangan undi Umno kerana jika Umno menang di Johor, semua kes kluster mahkamah akan digugurkan". Tetapi apa kaitan Johor dan Melaka dengan itu? Tiada kaitan. Mungkin mereka berkata begitu kerana mereka pernah melakukannya kerana kes mahkamah sedang berjalan, dan mereka menggugurkan kes itu. Kes Lim Guan Eng digugurkan.
Terdahulu, Asia Times menyiarkan temu bual dengan Mohamad yang memetik pemimpin nombor dua Umno itu berkata Najib tidak seharusnya mengharapkan layanan istimewa daripada kerajaan pimpinan Umno jika dia dipenjarakan atas tuduhan rasuahnya berkaitan 1MDB.
Sebaliknya, bekas perdana menteri itu mesti menjalani hukuman penjara sebelum dia boleh mendapatkan pengampunan.
Laporan yang dikarang bersama oleh Kochan dan Nile Bowie itu diterbitkan di bawah tajuk “Umno’s No 2 thinks Najib should go to jail” ("No 2 Umno berpandangan Najib patut masuk penjara").
Bagaimanapun, Mohamad kemudiannya dilaporkan memberitahu Free Malaysia Today bahawa laporan itu telah memetik kenyataannya mengenai Najib di luar konteks.
“Apa yang saya katakan ialah Najib mesti mendapat perbicaraan yang adil. Jika dia didapati bersalah, maka dia perlu menghadapi akibatnya, tetapi seperti yang kita tahu, kesnya (SRC International) belum selesai. Ia di Mahkamah Persekutuan. Tetapi dia mesti mendapat perbicaraan yang adil,” katanya seperti dilapor.