Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pengeluaran RM1 juta: Saksi tak ingat perkataan sebenar diguna Syed Saddiq

Seorang pemimpin Pemuda Bersatu tidak ingat perkataan tepat yang digunakan oleh Syed Saddiq Syed Abdul Rahman apabila dia didakwa mengarahkannya mengeluarkan RM1 juta daripada akaun bank Pemuda Bersatu dua tahun lalu.

Penolong Setiausaha Pemuda Bersatu Ahmad Redzuan Mohamad Shafi hari ini memberi keterangan semasa perbicaraan dakwaan penyelewengan RM1.2 juta terhadap Syed Saddiq yang juga merupakan bekas ketua Pemuda Bersatu.

Saksi pendakwaan ke-11 itu menjawab pemeriksaan balas oleh peguam bela Gobind Singh Deo berhubung dakwaan pertemuan antara dia, Syed Saddiq (atas) dan bendahari Pemuda Bersatu Rafiq Hakim pada Mac 2020.

Gobind: Adakah anda mencatatkan nota perbincangan pada masa itu

Redzuan: Tidak.

Gobind: Adakah anda membuat laporan polis mengenai perbincangan itu?

Redzuan: Tidak.

Gobind: Apakah perkataan sebenar yang digunakan semasa perbincangan malam itu?

Redzuan: Saya tak ingat.

Penolong setiausaha Pemuda Bersatu Ahmad Redzuan Mohamad Shafi

Saksi itu juga mengakui bahawa berdasarkan bacaan perlembagaan Bersatu, perintah mengeluarkan wang itu tidak bercanggah dengan perlembagaan parti.

Semalam, dalam keterangan saksi bertulisnya, Redzuan mendakwa Syed Saddiq mengarahkannya mengeluarkan RM1 juta daripada akaun sayap pemuda parti itu semasa mesyuarat di rumah tertuduh di Petaling Jaya.

Redzuan mendakwa arahan Syed Saddiq adalah untuk mengukuhkan kedudukannya ketika itu sebagai ketua Pemuda Bersatu, seterusnya mendakwa perkara itu bertentangan dengan prosedur parti kerana sebarang pengeluaran wang tunai melebihi RM500,000 mesti mendapat kelulusan daripada majlis tertinggi parti dan disertakan dengan kertas kerja yang sesuai .

Prosiding di hadapan pesuruhjaya kehakiman Azhar Abdul Hamid diteruskan petang ini.

Sebelum ini, di Mahkamah Sesyen, Syed Saddiq minta dibicarakan atas dua pertuduhan penyelewengan membabitkan RM1.12 juta daripada Pemuda Bersatu.

Bekas menteri belia dan sukan itu juga mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan bersubahat dengan pengubahan wang haram, di mana setiap transaksi yang didakwa melibatkan RM50,000.

Empat pertuduhan itu kemudiannya dipindahkan ke Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS