Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Syed Saddiq kata wang Armada hasil usahanya cari sumbangan - Saksi

Seorang pemimpin Pemuda Bersatu memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur petang ini bahawa dia diarahkan oleh ketua Pemuda Bersatu ketika itu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk mengeluarkan RM1 juta daripada akaun banknya pada Mac 2020.

Ketika memberi keterangan pada perbicaraan kes dakwaan penyelewengan terhadap Syed Saddiq, Penolong Setiausaha Pemuda Bersatu Ahmad Redzuan Mohamed Shafi berkata arahan itu diberikan kepadanya semasa mesyuarat di rumah Syed Saddiq di Petaling Jaya.

"Dalam perjumpaan tersebut Syed Saddiq dan kami (Redzuan dan Bendahari Pemuda Bersatu Rafiq Hakim) ada berbincang mengenai tentang pertukaran kerajaan dan kedudukan Armada (Pemuda Bersatu) dalam kerajaan kerana Syed Saddiq berada dalam blok pembangkang bersama-sama dengan Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Syed Saddiq telah mengarahkan Rafiq Hakim dan saya supaya mengeluarkan wang daripada akaun Armada Parti Bersatu secara tunai. Jumlah wang tunai yang diarahkan oleh Syed Saddiq kepada saya dan Rafiq Hakim adalah berjumlah RM1 juta," katanya.

Redzuan memberi keterangan dalam perbicaraan jenayah terhadap Syed Saddiq, yang menghadapi dua pertuduhan penyelewengan membabitkan wang RM1.12 juta daripada Pemuda Bersatu.

Syed Saddiq turut didakwa atas dua pertuduhan bersubahat dalam pengubahan wang haram.

Menurut saksi, Syed Saddiq mahu wang tunai itu dikeluarkan bagi mengukuhkan kedudukannya dalam Pemuda Bersatu.

Ini kerana Ahli Parlimen itu bimbang sekiranya berlaku pertukaran kepimpinan dalam kalangan pemuda Bersatu berikutan perkembangan politik ketika itu.

"Syed Saddiq mengatakan bahawa wang tersebut perlu dikeluarkan daripada akaun kerana beliau bimbang berlaku pertukaran pucuk pimpinan Armada dan untuk kegunaan mengukuhkan kedudukan Syed Saddiq sebagai Ketua Armada Bersatu sekiranya berlakunya pergolakan dalam Armada melalui program-program melibatkan Armada.

"Syed Saddiq berkata bahawa duit dalam akaun (CIMB) Armada Pusat merupakan hasil titik peluh dia mencari sumbangan dan dia berhak untuk menggunakan duit tersebut sepenuhnya," kata Redzuan.

Redzuan berkata wang tunai daripada akaun bank CIMB Pemuda Bersatu hanya boleh dikeluarkan menggunakan buku cek, dan perlu ditandatangani oleh dua daripada tiga pemegang amanah yang ditetapkan.

Redzuan dan Rafiq adalah sebahagian daripada mereka yang dinamakan sebagai pemegang amanah akaun itu.

Saksi berkata dia dan Rafiq telah menjalankan proses pengeluaran tunai pada 6 Mac 2020 di CIMB Bank cawangan KL Sentral.

"Semasa Syed Saddiq mengarahkan saya dan Rafiq Hakim mengeluarkan wang tunai RM1 juta daripada akaun rasmi Armada, Syed Saddiq tidak ada memberitahu saya dan Rafiq Hakim bahawa pengeluaran wang tunai RM1 juta ini telah mendapat kebenaran atau tidak daripada Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu," katanya.

Daniel memberi keterangan bahawa arahan Syed Saddiq adalah bertentangan dengan prosedur Bersatu, kerana sebarang pengeluaran wang tunai melebihi RM500,000 mesti mendapat kelulusan daripada MPT dan disertakan dengan kertas kerja.

"Walaupun saya tahu ia bertentangan dengan prosedur pengeluaran wang tunai, saya terpaksa mengikut arahan Syed Saddiq memandangkan jawatannya sebagai ketua Armada dan Ahli Parlimen Muar ketika itu," kata Redzuan.

Perbicaraan akan diteruskan pagi esok dengan pemeriksaan balas oleh pasukan pembelaan Syed Saddiq.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS