Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Tan Sri Noh Omar menyambut baik cadangan pemimpin veteran Umno, Tan Sri Muhammad Muhd Taib supaya calon “heavyweight” diberi peluang bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di negeri ini.
Noh berkata beliau sangat menggalakkan golongan muda yang berpengaruh untuk bertanding di negeri ini kerana berpendapat mereka boleh membawa idea-idea baru untuk Selangor.
“Seorang tokoh muda berpengaruh dan bijak dalam sektor kewangan, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz boleh diberi peluang.
“Selain Tengku Zafrul, Pengarah Ekonomi di Pejabat Perdana Menteri, Shahril (Suffian) Hamdan ini juga anak muda yang sesuai.
“Dalam peringkat pimpinan tertinggi Umno, Selangor yang paling ramai.
“Kita ada lapan orang antaranya, kita ada Ketua Penerangan Umno merangkap Naib Ketua Pergerakan Pemuda Umno Malaysia, Shahril; Ketua Puteri Umno Datuk Zahida Zarik Khan; saya, Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Rizam Ismail dan Isham Jalil,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan Kopenas di Shah Alam hari ini.
Sementara itu, Noh juga mengulas mengenai kenyataan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menggelar kerajaan sebagai “bangang” kerana lambat bertindak mengatasi masalah kenaikan harga barangan.
Noh berkata Presiden PKR itu tidak seharusnya menjadikan kos sara hidup sebagai isu politik.
Beliau berkata kerajaan telah menubuhkan Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) yang disertai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi mendapatkan pandangan berhubung situasi semasa dan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi bagi mendepani isu peningkatan harga barang dan kos sara hidup.
"Kita bincang bagaimana nak mengurangkan atau mengatasi kos kenaikan harga barang kemudian Kabinet turut menubuhkan Jawatankuasa Teknikal Menangani Isu Sekuriti Bekalan Makanan Negara,” katanya.
- Bernama