Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Bekas senator dipanggil ke Bukit Aman pula
Diterbitkan:  Jul 3, 2022 10:51 AM
Dikemaskini: 2:51 AM

Bekas senator Siti Aishah Shaik Ismail dipanggil polis sekali lagi. Kali ini dia dikehendaki hadir di Bukit Aman untuk diambil keterangannya berhubung rakaman video TikTok mengenai isu penghapusan subsidi oleh kerajaan.

Menurut laporan Free Malaysia Today, Siti Aishah itu memberitahu pada mulanya dia diminta pergi ke Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia itu esok untuk diambil keterangan.

Bagaimanapun, katanya, dia meminta perjumpaan itu diadakan selepas sambutan Aidiladha dan ia dipersetujui polis.

Minggu lalu, Ketua Polis Perak Mior Faridalathrash Wahid berkata, Siti Aishah, 39, diambil keterangan oleh pegawai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi tujuan siasatan.

Difahamkan, siasatan terhadap Siti Aishah - yang dilantik sebagai senator pada 22 Jun 2015 - itu dibuat mengikut Akta SKMM 1998.

Sebelum ini dia memuat naik rakaman video di TikTok mendakwa pelbagai subsidi akan dimansuhkan mulai 1 Julai yang boleh mengakibatkan kemarahan orang ramai terhadap kerajaan.

Menurut Siti Aishah, kira-kira lapan atau sembilan pegawai polis dan SKMM menyerbu rumahnya.

Mereka mengiringinya dengan tiga kenderaan untuk diambil keterangan di sebuah balai polis di Ipoh. Siti Aishah memberi keterangan kepada pihak berkuasa terbabit selama lebih tiga jam.

Selain itu, dia mendakwa telefon bimbitnya juga turut dirampas.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS