Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Harga naik: 'Kerajaan lembab, hanya bertindak selepas reaksi rakyat'
Diterbitkan:  Jul 2, 2022 2:38 PM
Dikemaskini: 6:38 AM

Sheikh Umar Bagharib Ali berkata kerajaan patut dari awal mengemukana penyelesaian yang menyeluruh berhubung kenaikan harga barang, bukannya bertindak mengikut reaksi orang ramai semata-mata.

Timbalan pengerusi DAP Johor itu berkata, ini kerana kenaikan harg yang berlaku amat membebankan rakyat, apatah lagi menjelang Hari Raya Aidiladha kira-kira seminggu lagi.

"Kerajaan sangat lembab dan perlahan dalam mengemukakan solusi yang meyakinkan. Ia digambarkan menerusi keputusan kerajaan yang cepat berubah-ubah contohnya dalam isu pemberian subsidi ayam.

"Kerajaan tidak boleh ambil pendekatan seolah-olah 'fire fighting' dan bertindak mengikut reaksi semata-mata kerana rakyat yang akan terus menjadi mangsa.

"Kerajaan sepatutnya dari awal lagi mengemukakan pelan strategik yang menyeluruh dan bersepadu serta mengambil kira punca dan juga kesannya terhadap ekonomi rakyat," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sheikh Umar membuat kenyataan itu selepas memberi keterangan di ibu pejabat polis (IPD) Dang Wangi berhubung himpunan berkenaan kenaikan harga barang di Kuala Lumpur, semalam.

Selainnya, sembilan lagi pemimpin PH turut dipanggil memberi keterangan berkenaan perkara itu.

Dia berkata himpunan tersebut adalah suara rakyat yang tidak setuju dengan kenaikan harga barang.

"Himpunan yang diadakan merupakan saluran demokrasi yang dijamin perlembagaan. Rakyat mahukan tindakan serius oleh Kerajaan dalam menangani isu ini," katanya lagi.

Protes singkat semalam dibuat di luar Masjid Jamek Kampung Bharu selepas sembahyang Jumaat dan disertai kira-kira 50 orang.

Antara tuntutan utama mereka adalah agar kerajaan mengembalikan subsidi, menghapuskan sistem permit import (AP) ke atas makanan dan mengadakan sidang khas Parlimen untuk membincangkan isu keselamatan makanan dan harga makanan.

Adun Taman Templer Sany Hamzan dalam sidang media selepas itu berkata protes lebih besar akan diadakan pada 16 Julai ini jika tuntutan tersebut tidak dilaksanakan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS