Berikutan gesaan agar Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) campur tangan berhubung cadangan penggabungan antara Digi Bhd (Digi) dan Celcom Axiata Bhd (Celcom), suruhanjaya itu menjelaskan perkara itu berada di luar bidang kuasanya.
Ketua Pegawai Eksekutif MyCC, Iskandar Ismail berkata walaupun Akta Persaingan 2010 terpakai kepada mana-mana aktiviti komersial di Malaysia, akta yang sama menetapkan bahawa ia tidak terpakai kepada aktiviti komersial di bawah empat sektor, termasuklah sektor telekomunikasi dan multimedia.
"Oleh itu, perlu ditegaskan bahawa aktiviti perkhidmatan telekomunikasi adalah di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
"MCMC mengawal selia penggabungan dalam sektor telekomunikasi dan perkara-perkara persaingan yang berkaitan melalui peruntukan Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia 1998.
"Sehubungan itu, MyCC menyerahkan perkara berkaitan cadangan penggabungan tersebut kepada kebijaksanaan MCMC dan yakin bahawa penilaian dan penelitian yang komprehensif telah dilaksanakan oleh MCMC sebelum mencapai keputusannya," katanya dalam kenyataan.
Iskandar berkata langkah pindaan Akta Persaingan 2010 oleh MyCC yang akan memperkenalkan rejim kawalan penggabungan di Malaysia sedang berjalan lancar.
"Sekali lagi, perlu ditekankan bahawa rejim penggabungan ini akan mengecualikan, antara lain, sektor di bawah bidang kuasa MCMC.
"Kami berharap keputusan oleh MyCC mengenai permohonan penggabungan pada masa hadapan akan menjadi rujukan dan panduan utama kepada semua pihak berkuasa lain untuk memastikan landskap dasar yang konsisten dan teguh yang akan mewujudkan kepastian dalam pasaran,” katanya.
Pada 29 Jun lalu, MCMC meluluskan cadangan penggabungan antara Digi dan Celcom.
Memandangkan Digi dan Celcom merupakan pengendali perkhidmatan mudah alih kedua dan ketiga terbesar Malaysia setakat ini, penggabungan itu akan menghasilkan pembentukan pengendali perkhidmatan mudah alih terbesar negara.