Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Penentang Statut Rome kini jadi pengerusi Suhakam
Diterbitkan:  Jul 1, 2022 6:09 PM
Dikemaskini: 10:18 AM

Pakar undang-undang Rahmat Mohamad, yang mengarang bersama kertas kerja yang meyakinkan Majlis Raja-Raja supaya menolak Statut Rom, adalah pengerusi baharu Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam).

Tujuh lagi anggota suruhanjaya itu adalah pensyarah undang-undang UKM Noor Aziah Mohd Awal (dilantik semula), bekas ketua Jabatan Kemajuan Islam Mohamad Nordin Ibrahim, Dr Chew Chee Ming, bekas peguam negara Sabah Mariaty Robert, peguam Hasnal Rezua Merican Habib Merican, peguam Nazira Abdul Rahim dan bekas presiden Majlis Peguam K Ragunath.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan suruhanjaya baharu itu sebagai "inklusif" dan menambah bahawa tempoh mereka berkuat kuasa mulai 22 Jun lalu.

“Semoga lantikan yang inklusif ini akan lebih memperkasakan SUHAKAM dalam melaksanakan aktiviti-aktivitinya demi kesejahteraan negara,” katanya yang dipetik Bernama.

Rahmat adalah seorang profesor undang-undang di UiTM. Dia adalah seorang daripada empat ahli akademik yang menulis dokumen kepada Majlis Raja-Raja pada April 2019, menasihatkan agar Malaysia tidak meratifikasi Statut Rom.

Perjanjian itu - atau dikenali sebagai Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa - telah disahkan oleh 123 negara.

Perjanjian yang membentuk Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) memberi tumpuan kepada pembunuhan beramai-ramai, jenayah terhadap kemanusiaan, jenayah perang, dan jenayah pencerobohan.

ICC hanya boleh menyiasat dan mendakwa jenayah sedemikian dalam keadaan negeri berkenaan tidak mampu atau tidak mahu melakukannya sendiri.

Bidang kuasanya terhad hanya kepada negara penandatangan, melainkan dibenarkan sebaliknya oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Ketiga-tiga daripada lima anggota tetap majlis keselamatan PBB yang mempunyai kuasa veto - Amerika Syarikat, Rusia dan China - bukan pihak dalam Statut Rom.

Kertas kerja yang dikarang bersama oleh Rahmat berhujah bahawa meratifikasi Statut Rom akan mendedahkan Yang di-Pertuan Agong, sebagai ketua tentera, tertakluk kepada bidang kuasa ICC.

Penulis juga berhujah bahawa kerana beberapa negara yang paling ramai penduduk di dunia - Iran, Amerika Syarikat, Rusia, China, India dan Indonesia - telah menolak untuk meratifikasi ICC, - justeru ini bertentangan dengan semangat dan niat Statut Rom.

Secara berasingan, Rahmat pada 2018 melalui surat terbuka menyatakan bahawa Malaysia harus menggubal instrumen hak asasi manusia antarabangsa menjadi undang-undang negara terlebih dahulu sebelum meratifikasi undang-undang hak asasi manusia antarabangsa.

Malaysia masih belum meratifikasi enam teras undang-undang hak asasi manusia antarabangsa iaitu:

  • Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD)

  • Kovenan Antarabangsa mengenai Hak-Hak Sivil dan Politik (ICCPR)

  • Kovenan Antarabangsa mengenai Hak-Hak Ekonomi, Sosial dan Budaya (ICESCR)

  • Konvensyen Terhadap Penyeksaan dan Kezaliman (UNCAT)

  • Konvensyen Antarabangsa mengenai Perlindungan Hak Semua Pekerja Migran dan Anggota Keluarga Mereka (ICRMW)

  • Konvensyen Antarabangsa Untuk Perlindungan Semua Orang Dari Kehilangan Yang Dipaksa (ICPED).

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS