Hospital Kuala Lumpur (HKL) dijangka berdepan masalah kekurangan doktor ekoran pergerakan keluar doktor junior bermula 18 Julai ini.
Kumpulan Hartal Doktor Kontrak (HDL) mengongsikan surat bertarikh 30 Jun 2022 yang ditandatangani Timbalan Pengarah Perubatan II HKL Dr Marina Abdullah Sani berhubung perkara itu, di Twitter.
"Adalah dimaklumkan pihak pengurusan tertinggi HKL mendapati akan berlaku krisis keurangan pegawai perubatan di HKL dan Hospital Tuanku Azizah (HTA) berikutan pergerakan keluar pegawai perubaan junior dari HKL bermula 18 Julai 2022," menurut surat itu.
Dr Azizah berkata satu sesi perjumpaan pegawai perubatan pengurusan akan dibuat bagi membincangkan penyelesaian masalah itu hari ini (1 Julai).
Dalam ciapannya, HDK berkata krisis kekurangan doktor hanya akan memburuk.
"Kami sudah beritahu, lama dulu. Dan ia hanya akan memburuk.
"Sebelum ini bilangan doktor hanya cukup-cukup untuk menampung pesakit HKL," kata kumpulan itu.
HTA yang disebut dalam surat itu merujuk Hospital Wanita Dan Kanak-Kanak di HKL.
Sumber yang tahu berkenaan perkara itu mengesahkan surat tersebut adalah tulen dan mendakwa pergerakan keluar doktor ekoran lanjutan kontrak - yang ditawarkan kepada doktor junior tanpa jaminan penjawatan tetap.
Kerja lebih berat, gaji tak berubah
Sumber itu memberitahu Malaysiakini bahawa beban kerja pegawai perubatan di hospital tersebut telah meningkat, tanpa sebarang perubahan dalam gaji mereka. Ia diburukkan lagi dengan prospek mendapat pendapatan lebih tinggi di sektor swasta.
Dia berkata penyelesaian sementara yang boleh dilakukan adalah meminta doktor yang menguruskan soal pentadbiran untuk menjalankan tugas perubatan, seperti berjumpa pesakit.
Kira-kira setahun lalu, HDK berjaya melibatkan ratusan doktor kontrak di seluruh negara untuk mengadakan protes di hospital masing-masing.
Kumpulan itu juga berkempen untuk menamatkan "sistem 2-tier" antara doktor tetap dan doktor kontrak di hospital kerajaan. Doktor kontrak antaranya tidak layak untuk memohon biasiswa pasca-siswazah untuk menjadi doktor pakar.
Mereka juga tidak dijamin akan dijadikan pegawai tetap selepas kontrak lima tahun mereka tamat.
Ia di tengah kurangnya ketelusan berhubung kriteria yang menentukan graduan yang mendapat latihan tetap atau kontrak.
Menurut portal kesihatan CodeBlue, sejumlah 768 doktor kontrak dilaporkan telah meninggalkan Kementerian Kesihatan tahun lalu.
Sebagai perbandingan, bilangan doktor kontrak yang meninggalkan perkhidmatan awam pada 2017 adalah 110 orang, 2018 (168), 2019 (475) dan 2020 (511).
Pada Mac lalu, Kementerian Kesihatan mengumumkan ia mewujudkan sekurang-kurangnya 11,296 jawatan tetap antara 2022 hingga 2025. Jawatan tersebut untuk pegawai perubatan, pergigian dan farmasi.
Malaysiakini telah menghubungi Pengarah HKL Dr Rohana Johan untuk mendapatkan maklum balas berhubung perkara ini.