Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Dari 'tokoh' kongsi gelap hingga pasukan bola - Pahit getir petani di Perak

Di saat rakyat Malaysia berdepan dengan krisis makanan, sejumlah 12 komuniti pertanian dan di Perak berdepan ancaman pengusiran.

Pada masa ini, peguam dari Parti Sosialis Malaysia (PSM) membantu lebih 300 petani sayuran dari Chemor, Bidor dan Kampar untuk mengambil tindakan undang-undang dan membuat petisyen.

Menurut dokumen yang dilihat Malaysiakini, kebanyakan pemilik geran yang ingin mengusir petani dari kawasan itu adalah syarikat pemaju yang ingin membina kawasan perumahan di situ.

Ia walaupun dengan keadaan Perak sebagai negeri keenam dengan jumlah hartanah paling banyak tidak terjual, seperti dinyatakan dalam Laporan Pasaran Hartanah Tahunan Malaysia 2021. Sejumlah 2,748 unit hartanah belum terjual di negeri itu.

Sementara itu, PSM membangkitkan "latar belakang meragukan" sesetengah pemilik tanah. Parti itu juga mendakwa kerajaan negeri menjual tanah itu pada harga murah.

Kes 1: Daripada penternakan udang kepada perumahan

Pada 2019, lapan petani dari Sungai Pari, Chemor menerima surat daripada Bukit Aneka Sdn Bhd, mendesak mereaka agar mengosongkan tanah seluas 22.7 hektar dalam tempoh sebulan.

Peguam kemudian mendapati Jabatan Tanah Dan Galian Perak memberikan Lesen Pendudukan Sementara (Tol) kepada Bukit Aneka pada 1993.

Menurut Pengerusi PSM Dr Michael Jeyakumar Devaraj, syarikat itu pada mulanya memohon untuk melaksanakan penternakan udang air tawar tetapi bertukar kepada perumahan mampu milik pada 2014.

Kemudian Bukit Aneka sekali lagi mengubah tujuan pembangunan tanah, iaitu kepada perumahan umum.

Bukit Aneka adalah milik penuh LTS Properties Sdn Bhd, syarikat yang diasaskan dan milik taikun Law Tien Seng. Dia juga menjadi penasihat kehormat Persekutuan Persatuan Cina (Hua Zong).

Petani di situ pada masa ini dalam proses pertikaian di mahkamah. Mereka memohon untuk menyertakan Jabatan Tanah Dan Galian Perak dalam kes itu, untuk menjelaskan sebab mengutamakan Bukit Aneka berbanding mereka.

Kes 2: 'Heavenly king' dapat 41.7 hektar tanah pertanian

Menurut afidavit yang dilihat Malaysiakini, kerajaan Perak memberkan 41.7 hektar tanah di Pusing kepada Tee Yam Holdings Sdn Bhd pada 25 Ogos 2017.

Syarikat itu milik Koo Tee Yam, ahli perniagaan kontroversi yang tersenarai sebagai salah seorang 'four heavenly kings' dalam dunia kongsi gelap di Kuala Lumpur.

Empat bulan kemudian, iaitu pada 15 Disember 2017, Tee Yam menjual tanah itu kepada dua ahli perniagaan, yang membayar pendahuluan sebanyak RM2.5 juta.

Berdasarkan kelaziman bayaran pendahuluan sebanyak 10 peratus, Jeyakumar berkata tanah itu dijual pada harga RM25 juta, atau RM250,000 seekar.

"Apakah sumbangan Tee Yam kepada penduduk Perak (sehingga diberi tanah)?" soal bekas ahli parlimen Sungai Siput itu.

Dr Michael Jeyakumar Devaraj

Pada tahun lalu, PSM melaporkan perkara itu kepada SPRM.

Para petani kini dalam proses mahkamah. Keputusan mahkamah akan menentukan nasib 19 keluarga.

Kes 3: Tanah pertanian 'dihadiahkan' kepada pasukan bola sepak

Pada Mei 2019, pasukan bola sepak Perak menang Piala Malaysia selepas menewaskan Terengganu.

Sebagai hadiah, menteri besar ketika itu, Ahmad Faizal Azumu menganugerahkan tanah untuk mereka membina rumah.

Tanah yang diuntukkan bagi tujuan itu seluas 9.7 hektar di Tanah Hitam, di mana ada 11 petani sayuran di sana.

Selepas pengumuman Faizal, mereka menerima surat daripada kerajaan yang mengarahkan mereka mengosongkan tanah dalam tempoh dua minggu.

Mereka kemudian melantik peguam untuk memulakan prosiding undang-undang terhadap kerajaan negeri dan Jabatan Tanah Dan Galian.

Kes 4: Syarikat milik bekas pemimpin pemuda MCA

Ketika era 1980-an, kerajaan Perak memulakan Projek Persayuran di Ulu Kinta. Petani dari Belakang Chemor berjaya memohon untuk menyewa tanah di bawah projek itu, tetapi impian mereka kini sudah terkubur.

Pada Mac lalu, 20 petani menerima surat daripada dua syarikat - Kinding Maju Sdn Bhd dan Infinite Acres Sdn Bhd - yang menyatakan mereka adalah pemilik tanah seluas 32 hektar itu. Petani diarahkan mengosongkan kawasan itu dalam tempoh tiga bulan, bagi memberi laluan kepada projek perumahan.

Dua syarikat itu ada pemegang saham yang sama, iaitu Liew Yin Yin Land Sdn Bhd dan Liew Mun Hon.

Mun Hon adalah bekas ketua pemuda MCA Ipoh Timur. Dia kalah di tangan Lim Kit Siang di kawasan parlimen itu pada PRU 2008. Dia juga pengerusi Liew Yin Yin Group Berhad, iaitu syarikat induk kepada Liew Yin Yin Land Sdn Bhd.

Syarikat itu bekerjasama dengan kerajaan Perak untuk membina rumah mampu milik di Kinta, Bidor dan Sungkai.

Kes 5: Tanah pertanian dijual dengan 65 peratus diskaun?

Menurut rekod Jabatan Tanah Dan Galian Perak, pemilikan 19.4 hektar (48 ekar) tanah dekat Taman Chepor Sentosa dipindah milik dari Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) kepada KM Majubina Sdn Bhd.

Lapan petani yang mengusahakan tanah itu mencabar pemindahan itu di mahkamah.

Ketika prosiding, KM Majubina menunjukkan surat ikatan yang menyatakan pihaknya membayar RM4.82 juta kepada PKNP.

Semakan di laman iProperty menunjukkan seekar tanah di kawasan itu bernilai RM290,000. Ini bermakna harga pasaran untuk 48 ekar sepatutnya sekitar RM13.92 juta.

Maka, Jeyakumar berkata kerajaan negeri menanggung kerugian besar dengan menjual tanah itu pada kadar RM100,000 seekar kepada KM Majubina.

Dia juga mempersoalkan motif di sebalik diskaun 65 peratus, atau RM9.1 juta, dalam penjualan itu.

Malaysiakini telah menghubungi pejabat Menteri Besar Saarani Mohamad serta syarikat pemaju untuk mendapat respons mereka.

Petani diusir untuk bina rumah

Selain lima kes yang disebut di atas, ada tujuh lagi kumpulan petani yang berdepan risiko pengusiran di Perak.

1. PKNP bercadang untuk membina Silver Valley Technology Park yang akan merangkumi 422.9 hektar tanah pertanian di Kanthan, Chemor. Di bawah projek ini, seramai 132 petani akan diusir.

2. Sebahagian daripada kira-kira 20 hektar tanah pertanian dekat Taman Chepor Impian, Chemor akan dibersihkan oleh syarikat pelaburan hartanah - Ain Bina Sdn Bhd. Syarikat itu mendakwa sebagai pemilik tanah yang sebenar. Lapan petani dan aktivis cuba menghentikan pengusiran tetapi mereka ditahan. Ain Bina bercadang untuk membina kawasan perumahan di situ.

3. Sejumlah 36 petani dari Changkat Kinding, Chemor mendapati tanah pertanian mereka telah dipindah milik kepada Generasi Simbolik Sdn Bhd. Ia selepas mereka menerima notis pengosongan pada Mei. Generasi Simbolik, yang merupakan subsidiari kepada LBS Bina Holdings, merancang membina projek perumahan di tanah seluas 101 hektar itu.

4. Di Kuala Kampar, Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPNP) telah memajak tanah pertanian yang diusahakan oleh 10 petani kepada Suria Fishery Sdn Bhd.

5. Di Tanah Hitam, Chemor, kerajaan negeri menjual 6.5 hektar tanah kepada Saujana Amanjaya Properties Sdn Bhd. Sejumlah 16 petani telah diarahkan mengosongkan tanah.

6. Di Mambang Diawan, Kampar, 156 hektar tanah dijual kepada Deslcon Properties Sdn Bhd. Ia akan menjejaskan kehidupan kira-kira 100 petani.

7. Di Bidor, 28 hektar tanah dijual kepada Bangsa Mahir Sdn Bhd.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS