Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mas Ermieyati kaji 'dakwaan tak berasas' Zahid
Diterbitkan:  Jun 30, 2022 2:38 PM
Dikemaskini: 6:38 AM

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mas Ermieyati Samsudin berkata dakwaan dibuat Ahmad Zahid Hamidi bahawa dia menggunakan dana sayap parti untuk kepentingan peribadi adalah tidak berasas.

Menurut Mas Ermieyati sebelum ini dakwaan seperti dilontar presiden Umno itu pernah dibangkitkan dan dia sudah menjawabnya ketika berkempen semasa Melaka mengadakan pilihan raya kecil tahun lalu.

"Bagaimanapun, tuduhan (Ahmad Zahid) adalah dalam bentuk akuan bersumpah dari kandang saksi di mahkamah.

"Memandangkan keadaan itu, saya perlu mengkaji pertuduhan itu dengan lebih terperinci (sebelum memutuskan) jika tindakan lanjut perlu diambil,” katanya.

Terdahulu Ahmad Zahid mendakwa Mas Ermieyati dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mustapa Mohamed menyertai Bersatu pada 2018 kerana mereka sedang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Untuk rekod Mas Ermieyati dan Mustapa adalah antara ahli parlimen Umno yang berjaya mempertahankan kerusi mereka - masing-masing untuk Masjid Tanah dan Jeli - di sebalik kemenangan Pakatan Harapan (PH) secara keseluruhan.

Kedua-dua mereka kemudian meninggalkan Umno untuk menyertai Bersatu yang ketika itu sebahagian daripada PH.

Dakwaan dibuat Ahmad Zahid ketika memberi keterangan dalam perbicaraan kes pengubahan wang haram, pecah amanah dan rasuah melibatkan dana daripada Yayasan Akalbudi yang dikendalikannya.

Semalam, Mustapa sudah membuat penafian dakwaan itu sambil menegaskan kenyataan Ahmad Zahid sebagai berniat jahat.

Mustapa juga berkata dia sudah memberi kenyataan kepada SPRM dan polis termasuk dalam siasatan sebagai bekas pengerusi Umno Kelantan berkaitan dana yang dimasukkan ke dalam akaun Umno negeri itu yang didakwa diperolehi dari 1MDB.

Kata Mas Ermieyati, dana yang didakwa Ahmad Zahid telah diselewengkan itu sebenarnya telah diagihkan dengan sewajarnya oleh pucuk pimpinan Puteri Umno dan pemimpin bahagian Umno Melaka bagi persiapan menghadapi PRU 2018.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS