Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Zakat P Pinang sambut baik saranan Abim nilai semula kadar bantuan
Diterbitkan:  Jun 29, 2022 5:28 PM
Dikemaskini: 9:35 AM

Zakat Pulau Pinang (ZPP) menerima baik cadangan Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) dan akan mempertimbangkan untuk menilai semula kadar bantuan dan syarat kelayakan golongan yang layak terima zakat.

Ketua Pegawai Eksekutif ZPP, Amran Hazali berkata ini terutamanya untuk "skim zakat yang melibatkan sara hidup termasuk bagi bekalan makanan bulanan dan bekalan ubat-ubatan bagi pesakit kronik dalam kalangan asnaf."

"ZPP juga sedar akan kerisauan masyarakat dengan impak yang bakal dihadapi khususnya kepada golongan asnaf fakir dan miskin ekoran polisi terkini kerajaan yang berkemungkinan memberi kesan kepada harga barangan keperluan harian," katanya pada satu kenyataan hari ini.

Amran berkata pihaknya mengambil maklum pengumuman kerajaan berhubung kemungkinan barangan keperluan harian naik harga ekoran penarikan semula subsidi terhadap barangan berkenaan.

Semalam, Abim melontarkan cadangan kepada pusat zakat untuk melonggarkan garis panduan dalam menentukan syarat seseorang itu sebagai asnaf serta mengemaskini data had kifayah (kos minimum bagi keperluan asasi seseorang).

Abim menjangkakan berlaku peningkatan kos sara hidup yang semakin membebankan menjelang 1 Julai 2022 susulan beberapa dasar baru kerajaan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Alexander Nanta Linggi (gambar, bawah) pada 21 Jun lalu mengumumkan harga siling untuk ayam dan telur ayam, serta subsidi minyak masak sawit botol, tidak akan diteruskan mulai 1 Julai.

Menteri itu berkata ini bagi memastikan bekalan makanan akan lebih stabil dan harga makanan akan stabil dalam jangka masa panjang.

Dalam perkembangan berkaitan, Amran berkata ZPP baru sahaja menyemak semula kadar had kifayah umat Islam di negeri Pulau Pinang pada tahun 2021 yang lalu.

"Kadar had kifayah ini telahpun diluluskan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang sebagaimana yang disyorkan melalui satu kajian dan penyelidikan yang dijalankan pada tahun 2020.

"Bertitik tolak dari sini, maka ZPP telah menaikkan kadar saguhati Hari Raya Aidil Fitri baru-baru ini yang diberikan kepada golongan fakir dan miskin di mana kadar lama sebanyak RM450 yang diberikan kepada golongan miskin telah dinaikkan kepada RM600 manakala kadar lama sebanyak RM500 yang diberikan kepada golongan fakir telah dinaikkan kepada RM700," katanya.

Jelas Amran, kadar zakat yang diberikan bagi tujuan sara hidup bulanan di Pulau Pinang adalah di antara RM300 hingga RM600 bergantung kepada saiz keluarga tidak termasuk bagi tujuan sewa rumah dengan kadar maksimum sebanyak RM400 sebulan.

"Bagi bekalan makanan bulanan, sebanyak RM200 disalurkan pada setiap keluarga yang layak dan bagi bekalan ubatan pula di antara RM300 sehingga RM1,500 sebulan.

"Selain itu, ZPP juga menawarkan skim zakat yang diberikan secara sekaligus atau one-off dengan kadar di antara RM600 sehingga RM6,000 bergantung kepada kes.

"Manakala zakat bagi rawatan perubatan ringan secara sekaligus boleh diberikan sehingga RM10,000 maksimum," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS