Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kerajaan tubuh Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi
Diterbitkan:  Jun 29, 2022 5:16 PM
Dikemaskini: 9:22 AM

Kerajaan hari ini bersetuju menubuhkan satu pasukan khas bagi membantu rakyat menghadapi kemelut peningkatan kos sara hidup.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob erkata Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi itu dianggotai lima menteri bersama Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali.

Katanya pasukan itu akan mengumpul maklumat dari pelbagai kementerian, agensi dan orang ramai bagi merangka strategi serta menyelaras tindakan berkaitan inflasi, khususnya mengawal kenaikan harga barang.

"Pasukan khas ini akan berfungsi sebagaimana pasukan menguruskan pandemik Covid-19 dengan mengadakan mesyuarat dua kali seminggu iaitu setiap Isnin dan Khamis.

"Sidang media akan diadakan selepas setiap mesyuarat berlangsung bagi memberi penjelasan kepada isu-isu yang dibangkitkan oleh Keluarga Malaysia," katanya dalam kenyataan petang ini.

Pasukan khas itu, katanya, akan dipengerusikan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Annuar Musa, dan dianggotai Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz, Ronald Kiandee (Menteri Pertanian dan Industri Makanan) Alexander Nanta Linggi (Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna) dan Mustapa Mohamed (Menteri di Jabatan Perdana Menteri).

Isu kenaikan harga barang terus menjadi perhatian ramai dengan pelbagai pihak mendesak kerajaan mengambil langkah segera bagi menangani kesukaran yang sedang dialami rakyat.

Pagi tadi sekumpulan mahasiswa yang terdiri daripada 20 pertubuhan mendesak kerajaan mencari penyelesaian jangka pendek dan panjang terhadap isu berkenaan.

Mereka juga mengingatkan akan turun melakukan protes jika isu tersebut gagal ditangani segera.

Ismail Sabri berkata langkah menubuhkan pasukan khas tersebut diambil kerajaan kesan daripada cabaran peningkatan kos sara hidup akibat perubahan iklim dan ketidaktentuan geopolitik termasuk konflik Rusia-Ukraine yang dijangka berlarutan.

"Pegawai khusus di setiap kementerian akan dilantik sebagai pegawai rujukan (focal point) untuk memberi maklum balas segera kepada pasukan khas yang diurusetiakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS