mk-logo
Berita
Abim cadang longgarkan syarat asnaf layak terima zakat
Diterbitkan:  Jun 28, 2022 7:01 PM
Dikemaskini: 11:01 AM

Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata pusat zakat perlu melonggarkan garis panduan dalam menentukan syarat seseorang itu layak menjadi asnaf untuk menerima zakat.

Ini katanya merujuk peningkatan kos sara hidup “yang dilihat semakin membebankan menjelang 1 Julai 2022” susulan beberapa dasar baru kerajaan.

"Abim berpandangan berasaskan perkembangan situasi semasa, warga Muslim dalam kelompok di luar kadar had kifayah berpotensi untuk jatuh ke dalam kelompok miskin akibat dari kos keperluan asas yang melambung naik dalam masa sama pendapatan semasa mereka terus kekal tidak bergerak.

"Justeru, Abim mencadangkan untuk senario semasa terutama susulan dari beberapa pengumuman kerajaan termasuk menamatkan subsidi ke atas barang keperluan tertentu serta peningkatan kadar inflasi diambil kira sebagai garis panduan oleh mana-mana pusat zakat dalam menentukan garis kecukupan seseorang dalam penentuan asnaf," katanya pada satu kenyataan hari ini.

Pada Selasa (21 Jun), Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Alexander Nanta Linggi (gambar, atas) mengumumkan harga siling untuk ayam dan telur ayam, serta subsidi minyak masak sawit botol, tidak akan diteruskan mulai 1 Julai.

Menteri itu berkata ini bagi memastikan bekalan makanan akan lebih stabil dan harga makanan akan stabil dalam jangka masa panjang.

Sementara itu Muhammad Faisal juga menyarankan pusat zakat untuk mengemaskini data had kifayah (kos minimum bagi keperluan asasi seseorang) sebagai langkah awal mengatasi pertambahan jumlah golongan miskin.

“Pada tahun lepas kita telah menyaksikan 600,000 isi rumah daripada kumpulan berpendapatan sederhana (M40) telah jatuh ke dalam kumpulan berpendapatan rendah (B40) akibat wabak Covid-19,” katanya.

Menurutnya, situasi ini menunjukkan kedudukan taraf hidup dan kemiskinan warga hari ini bersifat rapuh dan boleh berubah-ubah bila mana wujud situasi yang menekan.

"Maka, dalam ukuran garis kemiskinan dan had kifayah, ia harus dilihat secara multi-dimensi selain berasaskan data dan angka semasa," jelasnya.

Kata Muhammad Faisal langkah membanteras kemiskinan harus memfokuskan untuk meningkatkan kualiti hidup dan menghapuskan kitaran kemiskinan selain menjamin keperluan asasi seperti bekalan makanan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS