Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pulau Batu Puteh: Dia sultan, bukan hakim - Mahathir

Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar boleh menyalahkan sesiapa sahaja dalam isu pembatalan rayuan terhadap keputusan kes pertikaian Pulau Batu Puteh antara Malaysia dan Singapura, kata Dr Mahathir Mohamad.

“Dia nak salahkan siapa pun boleh, tapi dia bukan hakim. 

“Dia sultan,” kata Mahathir, yang menjadi perdana menteri ketika kerajaan membatalkan rayuan itu pada 2018.

Mahathir berkata demikian ketika diminta mengulas berkaitan tindakan kerajaan Johor menyalahkannya susulan keputusan itu.

Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

Sultan Ibrahim ketika merasmikan sidang Dewan Undangan Negeri Johor dua minggu lalu bertitah bahawa baginda kecewa dengan keputusan kerajaan pusat membatalkan rayuan tuntutan Batu Puteh.

Baginda bertitah, “perdana menteri ketika itu”membuat keputusan sendiri dengan mengarahkan peguam negara bercuti dan tidak merujuk dengan Johor walaupun keputusan itu membabitkan tanah dan kedaulatan negeri.

Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi pula berkata tindakan undang-undang perlu diambil ke atas “pengkhianatan” yang menyebabkan negara kehilangan Pulau Batu Puteh.

Dia berkata kerajaan pada masa itu terkhilaf dengan menarik balik rayuan tuntutan, meninggalkan duluan yang buruk serta mencatat detik hitam dalam sejarah Malaysia yang berdaulat.

Sementara itu, bercakap ketika memulaukan inkuiri pasukan petugas khas Pulau Batu Puteh di Putrajaya hari ini, Mahathir berkata dia tidak dapat mengulas panjang kenyataan baginda.

“Dia boleh bagi pendapat dia. Di negara kita ini sultan bebas, dia above the law (lebih tinggi dari undang-undang). Dia boleh kata apa pun, saya tak boleh jawab.

“Tapi dia boleh kata apa yang dia suka,” kata Mahathir.

Mahathir bagaimanapun membangkitkan isu “jualan 1,370 hektar tanah kepada China” dan projek di Bandar Maharani.

“Dengan kadar (jualan) ini tidak akan ada lagi Johor,” katanya kepada pemberita.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS