Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Malangnya saksi hidup Pasir Salak moden cepat cair, kata Puad
Diterbitkan:  Jun 28, 2022 11:05 AM
Dikemaskini: 3:07 AM

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Mohd Puad Zarkashi secara tersirat mengaitkan pendedahan Tajuddin Abdul Rahman pada sidang akhbarnya, semalam dengan dakwaan ahli parlimen Pasir Salak itu sedang disiasat oleh SPRM.

“Tetapi sidang media masuk bakul angkat sendiri itu banyak putar belit. Ramai tahu Tajuddin anjur banyak pertemuan dirumahnya. Kenapa pusing 200 darjah?

“Dia fobia bila disiasat SPRM. Ramai saksi hidup.” kata Puad dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Menurut Puad, Tajuddin sebenarnya “sama standard” dengan ahli parlimen Kuala Langat Dr Xavier Jayakumar, Adun Tronoh Paul Yong dan Adun Melalap Peter Anthony.

“Semua jadi takut dan cair bila disiasat SPRM.

“Legasi kepahlawanan Pasir Salak memang hebat. Malangnya saksi hidup Pasir Salak moden cepat cair..,” katanya.

Puad merujuk kepada fakta sejarah Pasir Salak yang menjadi lokasi pembunuhan JWW Birch oleh Sepuntum yang diarahkan oleh pembesar Melayu, ketika itu, Datuk Maharaja Lela - satu peristiwa penting dalam sejarah Melayu.

Penggunaan "saksi hidup" adalah merujuk kepada petikan kata-kata Tajuddin semalam, ketika menggambarkan bagaimana dia menyaksikan banyak peristiwa yang didakwanya tidak selesa oleh kebanyakan ahli Umno.

Kecaman Puad itu sebagai tindak balas kepada sidang media pendedahan Tajuddin semalam yang sebahagian besarnya tertumpu dalam menyerang kepimpinan presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

Antaranya, Tajuddin mendakwa memang wujud akuan bersumpah (SD) daripada ahlipParlimen Umno untuk menyokong Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri.

Pendedahan Tajuddin itu susulan penyingkirannya sebagai ahli MKT pada 21 Jun lalu oleh Zahid.

Sementara itu, Puad turut menyelar Pengerusi Umno Bahagian Ketereh Annuar Musa yang didakwanya “suka” dengan sidang media Tajuddin semalam dengan menjadi “paling aktif viral dan share” laporan berita mengenai pendedahan itu.

“Pada Annuar itu bola tanggung untuk ‘smash’ Umno. Annuar kata tindakan terhadap Tajuddin akan timbulkan krisis.

“Memang Annuar mahu begitu. Sebab itu dia viral dan share,” kata Puad lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS