Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Gabungan Masyarakat Sivil bagi Keadilan untuk Adelina mengadakan bantahan di luar Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta pagi ini bagi mengecam pembebasan Ambika MA Shanmugam di mahkamah tertinggi Malaysia pada 23 Jun lalu.

Ambiga merupakan majikan bagi pembantu rumah warga Indonesia, Adelina Lisao yang meninggal dunia empat tahun lalu.

Kumpulan itu dalam satu kenyataan media menggesa pemerintah Indonesia memfailkan nota bantahan diplomatik dengan Malaysia berhubung keputusan Mahkamah Persekutuan mengekalkan pembebasan Ambika.

Kumpulan itu berkata, keputusan itu adalah salah laksana keadilan (Mismiscarriage Of Justice) bagi Adelina Lisao, keluarganya, pembantu rumah warga Indonesia dan malah negara itu.

Pembantu rumah dari kepulauan Nusa Tenggara Timur di Indonesia itu meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Bukit Mertajam selepas mengalami kecederaan parah di kepala dan muka, dan luka pada tangan dan kaki pada 2018.

Tiada siapa dipertanggungjawabkan

Sambil menyatakan kekesalan terhadap keputusan membebaskan majikan tersebut, kumpulan itu berkata adalah sangat jelas pembantu rumah itu “diseksa sehingga kehilangan nyawa.

“Kami menganggap Malaysia tidak adil dan tidak konsisten dengan nilai hak asasi manusia dalam menguatkuasakan undang-undang terhadap penyeksaan kejam terhadap Adelina,” kata kenyataan itu.

Kumpulan itu mendakwa Malaysia tidak menghormati Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani antara kedua-dua negara bagi pengambilan dan perlindungan pembantu rumah Indonesia di Malaysia pada 1 April lalu.

Sehubungan dengan itu, kumpulan itu juga menggesa pemerintah Indonesia menangguhkan pelaksanaan MoU itu dan mengkaji semula kerjasama pengambilan buruh dengan Malaysia.

Tiada pembantu rumah baru tiba di Malaysia

Sejak MoU itu ditandatangani, tiada lagi pembantu rumah bagi pengambilan baru tiba di Malaysia di bawah syarat terbaru.

Kumpulan pertama pembantu rumah dijangka tiba pada 31 Mei lalu namun ditangguhkan tanpa sebab dinyatakan.

Mesyuarat jawatankuasa bersama pertama antara kedua-dua negara bagi membincangkan pelaksanaan dan penguatkuasaan terma dalam MoU itu, dijadual pada bulan depan (Julai) dan mesyuarat seterusnya diadakan setiap tiga bulan sekali.

Kira-kira 20 peserta mengadakan protes di luar Kedutaan Malaysia sambil memegang sepanduk memaparkan gambar Adelina.

Kematian Adelina sebelum ini menggemparkan rakyat di kedua-dua negara apabila gambar pembantu rumah itu tidur di tempat letak kereta rumah majikannya bersama anjing keluarga itu tular di media sosial.

Mangsa diselamatkan dengan campur tangan Anggota Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim pada 10 Feb 2018.

Bagaimanapun wanita berusia 26 tahun itu meninggal dunia akibat kecederaan organ pada hari berikutnya selepas dimasukkan ke Hospital Bukit Mertajam.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS