Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Syarikat dikaitkan pembalakan fail saman RM60 juta ke atas Husam

Sebuah syarikat yang dikaitkan dengan aktiviti pembalakan di Hutan Simpan Kekal (HSK) Nenggiri, Gua Musang, Al Dar Resouces Sdn Bhd dan pemiliknya memfailkan saman dengan tuntutan ganti rugi berjumlah RM60 juta terhadap Pengerusi Save Kelantan, Husam Musa.

Peguamnya, Azeel Eskandar Azmi berkata saman tersebut difailkan di Mahkamah Tinggi Kota Bharu susulan kenyataan Husam yang disifatkan sebagai memfitnah syarikat dan anakguamnya.

Menurutnya, saman tersebut merujuk dua hantaran di Facebook Husam Musa pada 3 dan 6 Jun lalu.

"Anakguam kami menafikan dengan tegas keseluruhan pernyataan-pernyataan dalam kedua-dua hantaran tersebut.

"Pernyataan-pernyataan tersebut adalah tidak benar, tidak berasas dan bersifat fitnah dan kesannya menjatuhkan imej dan reputasi baik anakguam-anakguam kami selaku sebuah syarikat dan ahli perniagaan yang mempunyai nama baik di Kelantan khususnya," katanya pada sidang media di Kota Bharu, malam tadi.

Sebagai rekod Husam yang juga ketua Amanah Kawasan Kota Bharu sebelum ini antara lain mempersoalkan aktiviti pembalakan membabitkan sebuah anak syarikat kerajaan Kelantan Daulah Najah Sdn Bhd dan Al Dar Resouces di HSK Nenggiri.

Sementara itu Azeel Eskandar berkata saman yang dikemukan Al Dar Resouces itu menuntut ganti rugi am RM10 juta akibat daripada penerbitan perkataan-perkataan yang diadukan dan perkataan-perkataan fitnah.

Selain itu katanya, syarikat itu juga menuntut RM40 juta ganti rugi khas iaitu kerugian atau kehilangan pendapatan akibat daripada penerbitan perkataan-perkataan yang diadukan dan perkataan-perkataan fitnah tersebut.

"Anakguam kami juga menuntut satu perintah mengarahkan defendan memadam semua penerbitan fitnah, satu injunksi berterusan yang menghalang defendan sama ada sendiri atau melalui ejen-ejen daripada menerbitkan semula atau menyebabkan penerbitan semula perkataan-perkataan fitnah.

"Defendan juga dituntut membuat permohonan maaf secara bertulis, ganti rugi teruk, ganti rugi teladan dan kos guaman," katanya.

Tambahnya, bagi pihak pemilik syarikat Al Dar Resouces, Mohd Hafiz Mohd Rasdin pula menuntut ganti rugi am RM10 juta daripada defendan selain perintah-perintah injunksi sampingan seperti dinyatakan dalam saman tersebut.

"Kami telah menghantar notis tuntutan kepada defendan pada 12 Jun lalu, namun tidak dijawab sehingga hari ini. Maka kami diarahkan untuk memfailkan writ saman dan pernyataan tuntutan pada 21 dan 22 Jun lalu.

"Kedua-dua kes ditetapkan untuk pengurusan kes pada 13 Julai depan," kata peguam daripada Tetuan Syazwan Hasim & Azeel Eskandar itu.

Dalam salinan writ saman yang dilihat Malaysiakini turut menyatakan butiran kerugian dan kesusahan susulan hantaran dibuat defendan.

Antaranya plaintif tidak boleh menjalankan tanggungjawab kontrak yang berjumlah lebih RM1.8 juta dan mengalami kerugian atau kehilangan pendapatan berjumlah RM40 juta serta kos-kos berbangkit.

Mohd Hafiz, 38, berkata pihaknya mendapat kelulusan kontrak daripada Daulah Najah Sdn Bhd iaitu projek mengeluarkan saki-baki kayu di dalam projek penempatan semula Orang Asli bagi pembinaan hidroelektrik Nenggiri.

Menurutnya kelulusan kepadanya itu adalah bukan projek pembalakan sebaliknya untuk mengeluarkan saki-baki kayu dan pembinaan semula penempatan Orang Asli.

"Saya menegaskan dakwaan yang menyatakan saya dikatakan (terlibat dengan) pembalakan itu tidak benar. Saya mengeluarkan semua kayu bagi memudahkan pemilik projek menjalankan kerja-kerja mereka.

"Saya juga menafikan sekeras-keras tuduhan-tuduhan yang dilontarkan dan saya akan membuat penjelasan lanjut di mahkamah nanti," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS