Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sebab apa nak bubar parlimen, nak selesai kes mahkamah? - Anwar

Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata desakan untuk membubarkan parlimen supaya pilihan raya awal dapat diadakan adalah tindakan terdesak beberapa pemimpin Umno untuk melepaskan diri masing-masing daripada kes mahkamah yang sedang dihadapi mereka.

Dia berkata demikian susulan asakan demi asakan beberapa pemimpin yang berkeras mahu Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang hayatnya berbaki lebih setahun lagi dibubarkan secepat mungkin.

"Sebab apa parlimen nak bubar? Sebab kluster mahkamah nak settle (selesaikan) kes dia.

"Ingat kalau dia menang PRU, dia boleh tutup kes. Jadi, rasional bubar itu kita pertikaikan," katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan ahli partinya di Rawang, Selangor, lewat petang, semalam.

Sebelum ini, beberapa pemimpin-pemimpin Umno berkata mereka sedia menunggu untuk pilihan raya diadakan selepas memorandum persefahaman (MOU) kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) tamat pada 31 Julai depan.

Antara pemimpin yang terus memberi tekanan kepada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob untuk membubarkan parlimen adalah Presiden Umno Ahmad Zahidi Hamidi dan bekas perdana menteri Najib Razak.

Kedua-dua mereka sedang berdepan kes rasuah dan salah guna kuasa di mahkamah dan sering dilabel sebagai 'kluster mahkamah'.

Mengulas lanjut, Anwar berkata bahawa PH bersedia untuk menghadapi PRU 15, sekalipun jika parlimen dibubarkan lebih awal.

"Walaubagaimanapun, kalau parlimen bubar kita bersedia.

"Sebab sambutan rakyat sangat baik. Jadi kita bersedia," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS