Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Dengan satu tandatangan, menteri mampu lindungi pekerja'

Hanya dengan satu tandatangan, Menteri Sumber Manusia M Saravanan mampu menyediakan perlindungan penuh kepada pekerja domestik di bawah undang-undang buruh Malaysia, kata pejuang hak pekerja.

Pengerusi bersama Labour Rights Reform Coalition Irene Xavier berkata, Saravanan boleh memansuhkan pengecualian di bawah Jadual Pertama Akta Kerja 1955 yang tidak mengiktiraf pekerja domestik sebagai pekerja formal yang mendapat perlindungan penuh.

"Pindaan jadual pertama di bawah bidang kuasa menteri.

M Saravanan

"Apa yang diperlukan hanya tandatangan mereka. Saya tak fikir ada perkara yang lebih mudah berbanding itu," katanya dalam satu acara di Kuala Lumpur semalam, sempena Hari Pekerja Domestik Sedunia yang jatuh pada 16 Jun setiap tahun.

Kegagalan berbuat demikian, kata Xavier, akan menjejaskan usaha kerajaan untuk membasmi amalan buruh paksa - masalah yang bukan saja dikesan dalam sektor formal tetapi juga pekerja domestik.

Katanya lagi, proses tersebut berbeza dengan sebarang cadangan pindaan bahagian utama akta yang perlu dibentang dan diluluskan di Parlimen dan diwartakan.

Irene Xavier

Penanda bagi amalan buruh paksa dalam kalangan tenaga kerja domestik adalah sekatan pergerakan, keganasan secara seksual dan fizikal serta pekerja diikat dengan hutang. Penanda ini berdasarkan kes-kes pekerja yang diselamatkan daripada rumah majikan mereka.

Gesaan Xavier ini sebahagian daripada desakan oleh kumpulan hak buruh dan migran agar Malaysia meratifikasi Konvensyen Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) 189 yang akan menetapkan piawaian buruh untuk pekerja domestik.

Antara kumpulan yang membuat gesaan itu adalah Tenaganita, North South Initiative dan Pertimig yang bergabung di bawah gerakan KeArah189. Gesaan mereka ditujukan kepada Saravanan dan juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Rina Harun.

"Kami menggesa menteri sumber manusia menilai semula dan mengubah pendiriannya.

"Kami juga menggesa Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk memahami diskriminasi ini adalah diskriminasi gender memandangkan kerja domestik melibatkan wanita," katanya.

Tiadanya pengiktirafan untuk kerja tidak formal di bawah Jadual Pertama Akta Kerja memberi kesan kepada pekerja tempatan dan juga warga asing yang bekerja di rumah majikan, termasuk penafian hak asas seperti gaji minimum, cuti bergaji dan faedah bersalin.

Hermono

Duta Indonesia ke Malaysia, Hermono pula mengambil maklum berkenaan perkembangan positif dalam usaha kerajaan dalam membasmi amalan buruh paksa, termasuk ratifikasi Protokol ILO Konvensyen Buruh Paksa 2014, serta Pelan Tindakan Nasional Berhubung Isu Buruh Paksa 2021-2025.

Dia berkata walaupun memorandum persefahaman (MOU) yang dimeterai antara kerajaan tiada ikatan undang-undang, tetap ada tanggungjawab moral untuk memenuhi semua terma yang dipersetujui.

"Tiada pihak lagi yang akan menaruh kepercayaan menandatangani MOU dengan Malaysia jika terma tidak dipenuhi," katanya, merujuk MOU berhubung perlindungan terhadap pekerja domestik Indonesia di Malaysia yang ditandatangani Mac lalu.

Indonesia menetapkan pemeteraian MOU itu sebagai syarat untuk membenarkan pengambilan pekerja formal di sektor lain.

Hermono memaklumkan setakat ini seramai 465 pekerja Indonesia telah tiba di negara ini.

"Ada beberapa ketibaan. Untuk ladang Sime Darby, satu ladang lain dan sebuah kilang.

"Saya tak lihat ada lagi isu pada masa ini," katanya lagi.

Ketibaan itu menandakan pasaran buruh Indonesia kembali dibuka, selepas masalah awal bulan lalu yang menyaksikan pembatalan kedatangan 100 pekerja ladang menerusi penerbangan khas dari Lombok.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS