Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pakar: Tiba masanya SPRM dipisahkan dari kerajaan

Ahli ekonomi politik Edmund Terence Gomez berkata sudah tiba masanya untuk SPRM mempunyai hubungan yang "tidak terlalu rapat" dengan cabang eksekutif, terutama berhubung soal pelantikan pegawai tertingginya.

Cadangan itu selepas beberapa nama ahli politik disebut oleh seorang saksi yang memberi keterangan berkenaan lejar Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) dalam perbicaraan rasuah terhadap Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

Sementara SPRM berkata pihaknya akan membuka kertas siasatan terhadap mereka, beberapa pihak membangkitkan persoalan mengapa badan itu tidak membuat siasatan sebelum ini memandangkan bukti dan saksi disediakan olehnya.

"Hakikatnya individu yang melantik ketua SPRM adalah ketua cabang eksekutif kerajaan - dalam kes ini, perdana menteri sendiri.

"Bekas perdana menteri telah dikaitkan dalam skandal rasuah yang serius. Individu sama yang sebelum ini bertanggungjawab terhadap pelantikan ketua pesuruhjaya SPRM.

Edmund Terence Gomez

"Ini menunjukkan ada keperluan untuk mewujudkan jarak yang sesuai (arm-length) dalam hubungan antara cabang eksekutif kerajaan dengan SPRM, memandangkan boleh timbul dakwaan SPRM enggan bertindak terhadap kes tertentu kerana pelantikan mereka dibuat oleh individu dalam cabang eksekutif, yang turut dikaitkan dengan kes tersebut," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Dalam perbicaraan sebelum ini, bekas pengurus pentadbiran UKSB David Tan Siong Sun menyebut syarikat tersebut memberi dana kepada sejumlah ahli politik, seperti Muhyiddin Yassin, Khairy Jamaluddin, Reezal Merican Naina Merican, Hishammuddin Hussein, Mohd Shafie Apdal dan Anifah Aman.

Muhyiddin dan Khairy kemudian menafikan ada menerima wang daripada syarikat itu.

Mengulas lanjut, Gomez berkata satu-satunya sebab SPRM berkata pihaknya akan menyiasat nama yang disebut dalam lejar UKSB adalah kerana ia sudah menjadi pengetahuan umum.

Isu mutakhir yang menyokong hujahnya, menurut Gomez, adalah dakwaan berkaitan pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki awal tahun ini.

Katanya, Kabinet pada masa itu sepatutnya "mengambil tindakan yang betul" dengan mengarahkan siasatan dibuat terhadap Azam.

"Isu itu dibawa ke Kabinet dan Kabinet membincangkannya (pada masa itu). Kami kemudian diberitahu bahawa Kabinet membincangkan 'kebaikan dan keburukan' bertindak terhadap dakwaan melibatkan Azam.

"Apa maksud mereka dengan kebaikan dan keburukan? Apa yang patut kerajaan buat adalah ambil tindakan yang betul, iaitu memulakan siasatan bebas tetapi ia tidak dilakukan," katanya.

Gomez sebelum ini adalah ahli Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah SPRM sebelum letak jawatan pada 27 Disember lalu, selepas panel tersebut didakwa gagal bertindak terhadap dakwaan pemilikan saham oleh Azam.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS